Genesis Mining - Easy Mining

Ahad, 28 April 2013

Rujukan Gejala Sosial Lepak


Bagi negara membangun seperti Malaysia perubahan-perubahan yang besar ini telah memberi banyak impak positif dari segi ekonomi, pembangunan, perindustrian, pelaburan, perbankan, pertanian dan sebagainya. Tetapi bagaimana pula dengan tahap sosial masyarakat negara terutama remaja di mana mereka inilah yang akan memacu pembangunan negara pada masa akan datang. Kebelakangan ini terlalu banyak diperkatakan isu yang berkaitan dengan masalah sosial yang melibatkan remaja.
            Pelbagai andaian, hujah, cadangan, program dan aktiviti bagi menangani masalah sosial ini diutarakan. Perlakuan sosial yang negatif dalam bentuk pergaulan sosial tidak seharusnya merupakan satu petunjuk ke atas kelemahan masyarakat untuk membudayakan pembangunan secara positif yang berteraskan prinsip dan nilai-nilai murni kemanusiaan serta agama. Zaman beredar terlalu cepat. Kadangkala kita alpa tentang persekitaran sekeliling yang telah mengalami banyak perubahan ke arah kemajuan seiring dengan kemajuan di negara-negara maju.
            Umum mengetahui bahawa gejala lepak dewasa ini banyak melibatkan pelajar remaja isu seperti melepak di depan-depan kompleks membeli belah merupakan isu yang kian kedengaran sebagai satu isu yang banyak memperkatakan tentang kegiatan lepak remaja masa kini. Satu lagi tabiat remaja yang menampakkan potensi untuk menjadi gejala yang sukar dibendung adalah kegemaran mereka membazir masa. Istilah yang popular digunakan kini adalah 'budaya lepak'. Satu kajian di dua buah rumah pangsa di Kuala Lumpur mendapati sebanyak 90% remaja kaum Cina terus pulang ke rumah selepas sekolah, sebanyak 72% remaja kaum India berbuat demikian dan hanya 5.8% remaja kaum Melayu pulang ke rumah selepas sekolah. Semua perangkaan dan statistik ini menunjukkan bahawa masalah sosial dalam kalangan belia dan remaja tidak hanya tertumpu pada kaum tertentu.
Punca Gejala Lepak

Daripada data dan statistik yang dibentangkan, terbukti keruntuhan akhlak dalam kalangan remaja masih pada tahap yang tinggi. Keruntuhan akhlak ini dapat dilihat dari pelbagai sudut. Antara punca yang dikenal pasti adalah seperti berikut:

Didikan

Salah satu faktor yang dikaitkan dengan gejala lepak remaja adalah penglibatan dalam jenayah. Remaja yang terlibat dalam jenayah bukan sahaja datang daripada keluarga yang miskin tetapi juga keluarga berada, malah segelin
tir daripada mereka berasal daripada keluarga yang mempunyai latar belakang yang baik.

            Justeru, bolehlah dikatakan bahawa punca-punca gejala lepak yang utama adalah kemerosotan dari segi asuhan, didikan, bimbingan serta kawalan oleh ibu bapa atau penjaga. Selain itu, tekanan hidup, sikap mengejar kemewahan serta penglibatan dalam aktiviti sosial lain menyebabkan ibu bapa dan anak kurang mempunyai masa atau kesempatan untuk bercakap, berbincang, berdamping antara satu sama lain. Malah ada yang jarang bersua muka. Keadaan ini menyebabkan remaja kaum India membawa cara hidup sendiri tanpa panduan dan pengawasan ibu bapa.

            Keluarga yang terlalu mewah cara hidupnya juga menyebabkan keruntuhan disiplin remaja. Sebagai contoh, ibu bapa yang terlalu memanjakan anak-anak kerap memberikan wang saku yang terlalu banyak. Perbuatan ini menyebabkan mereka mudah dipengaruhi oleh remaja lain yang bersuka-suka. Kesan pergaulan bebas dan terpengaruh dengan rakan-rakan sebaya yang rosak akhlak akan memburukkan lagi keadaan. Juga sikap ibu bapa yang tidak mengambil berat tentang kelakukan dan pergaulan anak remaja mendorong pada budaya lepak. Remaja yang terlalu awal terdedah kepada alam masyarakat yang mempunyai sikap yang kompleks tanpa bimbingan mencukupi daripada ibu bapa juga merupakan salah satu faktor gejala lepak semakin menjadi jadi.
Antara punca-punca lain keruntuhan akhlak yang berkaitan dengan hubungan kekeluargaan adalah alam rumah tangga yang tidak teratur, perpisahan ibu bapa, pertengkaran yang kerap berlaku dalam keluarga, keadaan sosioekonomi yang sempit, suasana rumah tangga yang tidak harmonis dan tenteram serta tidak keupayaan pihak penjaga mengawasi pendidikan anak-anaknya boleh juga membawa kepada kancah keruntuhan moral. Justeru, sebagai ibu bapa dan anggota masyarakat yang bertanggungjawab, kaum India seharusnya menjalankan kewajipan dengan merancang aktiviti, mengenal pasti masalah anak, memberi nasihat, pedoman, memberikan kemudahan-kemudahan serta mengawal selia anak sepanjang masa.


Persekitaran dan media massa

Pengaruh persekitaran, luaran dan media massa juga sentiasa membentuk perilaku para remaja yang masih mentah dalam menghadapi cabaran hidup sebagai contoh budaya lepak. Pelbagai dorongan yang kurang sihat dipaparkan melalui persekitaran ini yang seterusnya menyebabkan mereka terikut-ikut dengan pengaruh ini. Lantaran itu untuk memenuhi keinginan ini, mereka merayau-rayau di pusat-pusat membeli-belah, pusat permainan video dan secara tidak langsung terlibat dalam pergaulan bebas.Tidak dapat tidak, filem Tamil terus menjadi salah satu punca keruntuhan moral dalam kalangan remaja kaum India. Memang sering dikatakan bahawa penonton perlu membezakan realiti dan apa yang ditayangkan di layar perak.

Namun, secara realiti juga, golongan remaja terbukti terikut-ikut dengan apa yang dipaparkan dalam filem. Kebelakangan ini, filem-filem Tamil tepu dengan unsur ganas, seks dan aksi yang kurang bermoral. Hero filem Tamil sering dipaparkan sebagai individu yang terlibat dalam kegiatan samseng dan pelbagai aktiviti yang bertentangan dengan nilai sosial masyarkat.Merokok juga merupakan satu lagi aksi yang mudah dipelajari oleh remaja Laporan akhbar mengatakan bahawa isteri kepada Rajinikanth telah menyelar pihak media kerana gagal mengawal tabiat merokok di kalangan remaja di Tamil Nadu, India. Lalu, wakil media dengan tegas mengatakan bahawa adalah sukar bagi pihak media membendung gejala itu sedangkan Rajinikanth yang menjadi idola remaja terus merokok di layar perak.

Maka, dalam perkembangan terkini, Rajinikanth telah mengeluarkan kenyataan bahawa dalam filem-filem akan datang (jika ada), dia tidak akan merokok. Harapan penulis adalah bahawa pelakon-pelakon lain juga akan mengambil keputusan yang sama. Di Malaysia pula, Suhan Panshacharam (Pansha) perlu dipuji kerana beliau sentiasa memastikan watak-watak dalam filem dan drama yang beliau hasilkan (Melayu mahupun Tamil), tidak merokok.Budaya remaja yang dipaparkan dalam filem-filem Tamil juga sangat tidak sesuai dengan budaya kita. Sebuah filem Tamil berjudul Boys memaparkan dialog dan perlakuan remaja yang keterlaluan. Filem berkenaan telah diharamkan di India. Penulis hairan bagaimana filem itu ditayangkan di Malaysia sedangkan mesej, kandungan, dialog dan visual filem itu terbukti jauh lebih membinasakan berbanding filem Bruce Almighty.


Sekolah

Pengaruh di sekolah juga penting dalam pembentukan akhlak remaja. Tekanan yang dihadapi pelajar semasa di sekolah kerana tumpuan terpaksa diberikan dalam akademik serta guru yang kurang profesional dalam menangani masalah pelajar yang bermasalah akhirnya menyebabkan pelajar mengambil jalan mudah untuk keluar daripada masalah itu dengan terlibat dengan kegiatan-kegiatan yang kurang sihat.
Situasi ini didorong oleh kurang perhatian daripada ibu bapa di rumah. Budaya gangsterisme yang semakin menular di sekolah membuktikan hakikat ini. Tidak dapat dinafikan, remaja kaum India paling ramai terlibat dalam kegiatan tidak bermoral ini. Hadir bersama-sama budaya gangsterime adalah antaranya budaya ponteng sekolah, kaki pukul, peras-ugut, melawan guru, vandalisme, merokok, budaya samseng, kelucahan secara lisan mahu pun perbuatan, kelakuan sumbang, gangguan seksual, hubungan seksual, penagihan dadah dan merogol.

            Kalau diteliti, kesemua perbuatan tidak bermoral ini saling berkaitan. Kelompok remaja dan pelajar yang terlibat dalam gangsterisme ini pula sering melatih pelajar-pelajar baru untuk menyertai ‘kumpulan’ mereka. Pelajar-pelajar baru pula sama ada akan menyertai kumpulan berkenaan atau menjadi mangsa gangsterisme. Mereka akan berhimpun dan melepak sambil menayangkan budaya yang kurang sopan.

Kesimpulan

Ternyata masalah sosial dan budaya lepak dalam kalangan remaja hebat diperkatakan pada masa kini tidak tertumpu pada kaum tertentu. Sebaliknya, ia merupakan masalah nasional. Belia hari ini adalah pemimpin masa depan. Kenyataan ini mungkin kedengaran agak ekstrem, tetapi jika tidak dibendung, tidak mustahil negara akan dipimpin golongan remaja yang tidak bertanggungjawab suatu hari nanti.Pelbagai langkah boleh diambil dan dilaksanakan bagi menangani masalah yang wujud kini, tetapi apa yang lebih penting, ibu bapa mestilah memainkan peranan dan tanggungjawab dalam mengatasi masalah gejala ini dalam kalangan remaja. Dengan kata lain, walau apapun langkah yang diambil oleh mana-mana pihak, tanpa kerjasama daripada ibu bapa, nescaya gejala ini sukar diatasi. Maka, semuanya berbalik pada didikan dan kasih sayang ibu bapa.

Rujukan

Muhammad Hatta Sharom (1989). Ke arah Rumahtangga Bahagia. Kuala Lumpur:
Pustaka Salam.

Noor Shakirah Mat Akhir. “ Pengaruh Ibubapa Terhadap Tingkah laku Anak-anak”
dalam. Visi, Julai 2001, halaman 24-26.

Samsudin A. Rahim(1994).Tingkah laku lepak di kalangan remaja  Kementerian Belia  dan Sukan.

Samsudin A. Rahim (2007). Generasi belia Institut Penyelidikan Pembangunan Belia
            Malaysia, Kementerian Belia dan Sukan, Malaysia.

Zulkifli Yusuf (1990). Panduan Khidmat Bimbingan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa
Dan Pustaka.

http://www.smtmt.com/modules.php?name=Forums&file=viewtopic&p=440

0 Komen Anda:

Catat Ulasan