Genesis Mining - Easy Mining

Sabtu, 7 Disember 2013

TEKNOLOGI PENDIDIKAN BERBANTUKAN KOMPUTER

1.0       PENDAHULUAN

Dalam Pengajaran Dan Pembelajaran Berbantukan Komputer, pelbagai unsur media digabungjalinkan. Unsur-unsur tersebut ialah video, audio, animasi, teks dan grafik. Oleh yang demikian, maklumat bermutu dan berkesan mampu disampaikan sekiranya ia digunakan secara berfikrah, terancang dan bersesuaian dengan aktiviti pengajaran dan pembelajaran.

        Menurut Omar Zakaria et al (2006) dalam modul ‘Teknologi Maklumat dalam Pendidikan’, Pengajaran Pembelajaran Berbantukan Komputer (PPBK) ialah pengajaran atau kursus, yang disampaikan menggunakan pakej perisian pendidikan yang dibina oleh pembangun perisian dengan menggunakan komputer. Pengajaran Pembelajaran Berbantukan Komputer telah lama diperkenalkan iaitu kira-kira pada sekitar tahun 50an. Di Malaysia, Kementerian Pelajaran telah menyediakan pelbagai perisian Pengajaran Pembelajaran Berbantukan Komputer (PPBK) ke sekolah-sekolah.

1.2   Jenis-jenis PPBK

Terdapat enam jenis PPBK yang utama iaitu latihtubi, tutorial, simulasi, permainan dan penyelesaian masalah. Setiap jenis PPBK mempunyai kelebihan masing-masing dan sesuai digunakan dalam mata pelajaran peringkat rendah, menengah dan tinggi.

1.2.1 Latih Tubi

Latihtubi adalah suatu latihan yang berikan oleh komputer untuk meningkatkan pengalaman pembelajaran.Komputer akan memberikan soalan dan merakamkan semua jawapan yang betul atau salah. Seterusnya komputer dapat memberikan maklumbalas kepada pelajar. Ini akan membolehkan pelajar yang kurang berpengalaman dapat mengikuti perjalanan kursus mengikut tahapnya sendiri dan dapat memaparkan kemajuannya pada bila-bila masa sahaja.

1.2.2 Tutorial

Tutorial melibatkan komputer memperkenalkan bahan-bahan pembelajaran di sampaikan secara berperingkat-peringkat dan diikuti dengan soalan-soalan. Seterusnya komputer akan menyemak jawapan dan memberikan maklum balas. Ianya sesuai digunakan untuk memperkenalkan isi kandungan baru, mengulangkaji dan pemulihan kepada pelajar yang berpencapaian rendah atau pengayaan kepada pelajar yang berpencapaian tinggi.

1.2.3 Simulasi

Simulasi adalah suatu situasi yang disediakan oleh komputer dengan memberikan gambaran sebenar terhadap sesuatu objek, proses atau peristiwa. Pelajar dapat berinteraksi secara aktif dengan komputer berdasarkan peranan masing-masing bagi membuat keputusan, menyelesaikan masalah, isu, tugasan tertentu dan membuat keputusan yang tertentu. Ianya sesuai digunakan untuk pembelajaran proses dan konsep yang kompleks terutama dalam mata pelajaran seperti sains dan lain-lain yang memerlukan kajian atau modul atau modul yang mahal, merbahaya atau mengambil masa yang lama.

1.2.4 Permainan

Permainan adalah merupakan jenis PPBK yang melibatkan aktiviti berbentuk pertandingan di mana pelajar akan membuat keputusan, mengikut arahan dan peraturan. Unsur-unsur hiburan dan keseronokan dimasukkan bersama-sama semasa pelajar mempelajari sesuatu kemahiran dalam PPBK. Ianya akan dapat memperkembangkan kemahiran mental, logik, pengetahuan dan penyelesaian masalah. pelajar-pelajar akan mempunyai motivasi yang tinggi untuk menjadi juara.

1.2.5 Penyelesaian Masalah

Penyelesaian masalah adalah jenis PPBK yang dapat digabungkan dengan kaedah permainan untuk menghasilkan suatu keputusan yang hendak diambil oleh pelajar. Pelajar akan melakukan pilihan yang sesuai dan tepat. Penyelesaian Masalah membolehkan pelajar berinteraksi dengan komputer dalam mencari dan menyelesaikan masalah melalui pencarian dan melalui pertanyaan yang dikemukakan kepada komputer.

1.2.6    Ujian

Jenis PPBK berkonsepkan ujian adalah merupakan jenis PPBK yang menerapkan konsep pembelajaran berdasarkan pengujian. Ia merupakan proses yang dilakukan membolehkan pelajar berinteraksi dengan komputer menerusi latihan dan jawapan disertakan selepas sesi menjawab soalan dilakukan. Ia membolehkan pelajar mengetahui keputusan dengan lebih pantas dan meningkatkan daya ingatan pelajar dengan lebih mudah.

1.3       PENILAIAN PERISIAN

Perisian ini amat bersesuai dengan bidang pembelajaran Bahasa Melayu. Namun pemilihan perisian ini juga sesuai untuk semua mata pelajaran. Ini adalah kerana perisian tutor ini mempunyai pakej yang lengkap dilihat dari aspek kategori atau jenis pembelajaran berbantukan komputer. Penilaian akan meliputi aspek-aspek seperti berikut;

1.3.1    Jenis kategori perisian kursus

Ia meliputi semua kategori dalam perisian berbantukan komputer. Ini meliputi berkaitan dengan latih tubi, tutorial, penyelesaian masalah, permainan dan ujian. Ini dapat dilihat menerusi contoh-contoh serta alamat yang diberikan. Ia juga diketegorikan sebagai pembelajaran online yang amat berfaedah yang sesuai digunakan dalam semua mata pelajaran.

1.3.2    Tujuan perisian kursus

Perisian kursus yang berasaskan Web Portal yang beroperasi sejak 2001 ini merupakan gerbang pendidikan elektronik berasaskan web percuma yang menampilkan bahan pengajaran dan pembelajaran (P&P) untuk semua peringkat iaitu peringkat Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) di samping bahan-bahan tambahan untuk Prasekolah dan Prauniversiti. Oleh yang demikian ia dapat digunakan bagi tujuan proses pengajaran dan pembelajaran kerana sifatnya yang lengkap.

1.3.3    Fungsi dan kegunaan perisian

Fungsi dan kegunaan perisian adalah sebagai sumber pembelajaran yang melibatkan pelbagai bidang pengajaran dan pembelajaran. Selain menjadi sebagai sumber rujukan ia juga merupakan sumber bagi pengajaran dan pembelajaran yang meliputi peringkat rendah hinggalah peringkat pra universiti iaitu STPM.

1.3.4    Kekuatan

Kekuatan perisian ini dapat dilihat menerusi dua aspek utama iaitu isi dan aspek teknikal seperti navigasi, ciri-ciri penyimpanan rekod, persembahan dan kualiti.Dari segi isi kandungan merujuk kepada ketepatan isi kandungannya adalah tidak diragukan kerana ia berdasarkan sukatan pelajaran yang disediakan mengikuti pembelajaran di sekolah. Contohnya Bahan-bahan di dalam eTuisyen dan Bank Soalan disediakan oleh sekumpulan guru jurulatih utama dan guru pakar dalam bidang-bidang masing-masing dan semua bahan yang disediakan mengikut format dan sukatan pelajaran terkini yang telah digariskan oleh Bahagian Kurikulum, Kementerian Pelajaran Malaysia. Manakala untuk bahan-bahan P&P Bestari pula disediakan oleh syarikat Telekom Smart School Sdn. Bhd. syarikat pemaju kandungan kursus yang dilantik oleh Kementerian Pelajaran Malaysia untuk keperluan Sekolah Bestari  di seluruh negara.

Oleh yang demikian kesesuaian penggunaan perisian ini amat memberi kesan kepada penggunaan sebagai bahan berbantukkan komputer kerana isi kandungannya yang selaras dengan keperluan sukatan pelajaran mana-mana mata pelajaran sama ada peringkat rendah ataupun peringkat menengah.

Ini ditambah pula dengan skop isi kandungannya tidak terbatas kepada satu bidang sahaja malah meliputi pelbagai bidang seperti sains, matematik dan agama. Dengan yang demikian proses pengintegrasian mata pelajaran dengan mudah boleh dilakukan.

Sementara dilihat dari aspek teknikal pula, jelas sekali ia amat mudah untuk digunakan. Navigasi dalam perisian ini adalah ringkas dan mudah difahami. Setiap navigasi akan membawa pengguna kepada bidang-bidang yang dipilih mengikut kehendak pengguna.

Ciri-ciri penyimpanan rekod dalam perisian ini adalah dengan menggunakan server dan ia lebih selamat berbanding dengan perisian ”stand alone” iaitu perisian yang digunakan secara offline. Ini adalah kerana data-data tidak akan hilang walaupun dalam jangka masa yang lama.

Persembahan dari segi penyampaian menerusi isi kandungan dan pautan adalah amat ringkas dan pengguna dapat memahami perjalanan perisian tanpa masalah. Maka secara jelasnya ia merupakan perisian yang mempunyai kualiti yang tersendiri dimana capaian maklumat adalah berbentuk global.

Bagi memudahkan pengguna pula penyediaan maklumat berkaitan dengan sokongan teknikal disediakan iaitu seperti pemetaan, panduan pengguna dan cara menghubungi pembangun perisian secara online. Dengan yang demikian penggunakan akan dapat menggunakan perisian ini dengan lebih berkesan. Contoh panduan pengguna seperti kesesuaian atau keperluan sistem.

1.3.5    Kelemahan

Pada pendapat saya tidak banyak kelemahan yang dapat dikenalpasti menerusi pemilihan perisian ini. Namun ia juga tidak lari daripada beberapa kelemahan iaitu :-

i.          Isi kandungan (ketepatan, kesesuaian dan skop)

            Tidak dikemaskini dalam jangka masa yang agak lama. Contohnya seperti soalan-soalan dalam UPSR. Masih terdapat soalan-soalan yang lari daripada konsep atau format menjawab soalan kerana contoh-contoh soalan dari tahun 2003 masih lagi terdapat dalam perisian web portal ini.

ii.         Sokongan teknikal dan panduan pengguna

            Walaupun terdapat panduan pengguna namun ia tidak dijelaskan secara spesifik iaitu terlalu ringkas. Ini memerlukan guru terpaksa menerangkan terlebih dahulu sebelum ia dapat dimanfaatkan oleh murid-murid.


1.4       Rumusan

Secara keseluruhan konsep pembelajaran berbantukan komputer (PPBK) merupakan proses pembelajaran yang membolehkan pelajar berinteraksi  dengan komputer dengan bimbingan guru. Ia merupakan cara untuk membolehkan pelajar memperolehi proses pembelajaran dengan lebih yakin dan seronok. Seterusnya ia dapat meningkatkan pemahaman dan daya ingatan pelajar.

1 ulasan: