Genesis Mining - Easy Mining

Ahad, 31 Mac 2013

Contoh Masalah Pemahaman Bahasa


1.0       Pengenalan

Permasalahan dan kejadian salah tafsir terhadap pemahaman bahasa yang diungkapkan sering menyebabkan keadaan menjadikan situasi yang kurang menyenangkan kerana tanggapan yang salah.


1.1       Faktor-faktor Mempengaruhi Salah Tafsir

1.1.1    Aspek-Aspek Bahasa

Ada aspek-aspek bahasa yang masih merupakan masalah bagi guru. Yang jelas merupakan masalah ialah ketiadaan sebuah buku tatabahasa pegangan. Tatabahasa yang ada sekarang, jelas menunjukkan bahawa ada unsur-unsur yang masih kacau atau penjelasan yang berlainan antara pengarang-pengarang tatabahasa. Kedua, buku-buku tatabahasa yang ada sekarang berdasarkan bahasa Melayu dahulu jadi suatu usaha pengemaskinian perlu dilakukan. Suatu tatabahasa pegangan perlu disediakan segera untuk menampung keperluan ini. Buku, Nahu Melayu Mutakhir (Asmah 1980) dan Tatabahasa Dewan, Jld. I, Ayat (Nik Safiah et al., 1986) telah diterbitkan dan harus dapat membantu menghapuskan masalah ini.

1.1.2    Aspek Bukan Bahasa

Masalah bukan bahasa yang terlibat sering melibatkan masalah ganti nama, sopan atau tidak sopan seperti aku, saya, kamu/ engkau, taun/ saudara, dan sebagainya. Kalau penutur tidak memahami kesensitifan budaya dalam hal ini, maka akibatnya mungkin tidak baik. Misalnya, ada seorang pelajar Amerika yang belajar bahasa Malaysia, telah dimarahi oleh seorang penghulu kerana menggunakan kata engkau terhadapnya. Ini adalah masalah budaya. Ada tanda-tanda yang guru bahasa Malaysia juga tidak mengetahui hal ini dengan lancar. Di samping itu, satu kesalahan lain ialah gerak laku yang menyertai pertuturan tersebut. Sambil berkata itu kita mungkin mahu menunjukkan sesuatu, tetapi dalam budaya Melayu, ibu jari digunakan untuk menunjuk sebagai tanda hormat. Jadi, masalah ini selalunya merupakan satu aspek yang kerap dilanggar dalam pengajaran. Ada gerak laku yang dibuat dalam bertutur itu harus dibuat dengan betul.

1.1.3    Ayat

Masalah struktur ayat juga agak sering berlaku. Peminjaman struktur ayat-ayat Inggeris, Arab dan sebagainya memang kerap ditemui seperti dalam kes pandai orangbesar rumah, dan sebagainya. Tetapi yang agak menarik ialah kesalahan seperti Apakah ialah nama ibu negeri Perak? Di sini ternyata bahawa ialah itu adalah terjemahan unsur is dalam ayat What is the capital of Perak? Hal ini adalah suatu perkara yang tidak perlu berlaku, melainkan orang yang terlibat itu tidak memahami sepenuhnya bahawa ayat bahasa Malaysia tidak memerlukan unsur kopula is (ialah) itu.Satu lagi kesalahan pada peringkat ayat ialah penggunaan penutup frasa seperti itu dalam ayat seperti Menteri itu yang baru pulang..., selalu terdengar dalam pembacaan berita Radio dan Televisyen Malaysia. Itu adalah unsur penutup frasa seperti dalam Menteri yang baru pulang itu, dan sebagainya. Ini adalah kesalahan-kesalahan yang agak meluas dan seharusnya boleh diperbetulkan.

Selalu pula terdapat kesalahan tatabahasa dari segi penggunaan ayat bangun kena membuat (pasif) seperti:Pencabulan tentera Soviet oleh Afghanistan. Pencabulan itulah yang dilakukan oleh tentera Soviet terhadap Afghanistan dan bukan sebaliknya. Memang di sini ada ternyata gara-gara pengaruh unsur-unsur bahasa asing dalam bahasa Malaysia, lebih-lebih lagi apabila orang itu lebih mahir dalam bahasa asing itu dan tidak pernah belajar bahasa Malaysia secara formal (dan tidak mengenali sistem tatabahasa).

1.1.4    Kata

Penggunaan kata-kata tertentu dalam pertuturan sehari-hari juga menunjukkan beberapa kesalahan. Selalu juga terdapat kata-kata yang salah digunakan seperti: Tukang Jahit Wanita(Tukang Jahit Pakaian Wanita), Kedai Makan Melayu (Kedai Makanan Melayu), mengambil ubat (memakan ubat), dan sebagainya.




1.1.5    Intonasi

Intonasi adalah suatu masalah yang sering juga berlaku. Intonasi Inggeris, Cina atau India kerap digunakan dalam ayat-ayat bahasa Malaysia. Kajian lanjut dan meluas perlu dijalankan untuk mengetahui peringkat dan had kesalahan ini.

1.1.6    Kecelaruan Penggunaan Bahasa asing

            Timbul daripada unsur-unsur bahasa asing. Oleh sebab kebanyakan kita agak terlalu biasa dengan bunyi-bunyi Inggeris, maka apabila kita membawa masuk kata-kata tersebut ke dalam bahasa Malaysia, misalnya bus yang dibunyikan bas, maka kita membunyikannya juga sebagaibas. Tetapi bahasa Inggeris juga tidak konsisten, misalnya,put (disebut put) dan but (disebut bat), put bukan pat. Kebanyakan kita tidak menyedari yang kekacauan ini wujud dalam bahasa Inggeris, dan terbawa-bawa ke dalam bahasa Malaysia. Oleh sebab itu ejaan kata pinjaman daripada bahasa Inggeris ke dalam bahasa Malaysia, kebanyakannya mengekalkan ejaannya, tetapi kita membunyikan huruf-huruf yang digunakan seperti dalam bahasa Malaysia. Kalau kita lihat kebalikannya, orang Inggeris pun ada meminjam kata-kata daripada bahasa Malaysia seperti kampung, orang utan, rotan, tetapi memberi sebutan sendiri kepada kata-kata ini dan membunyikannya sebagai kempong, oreng uteng, reten,dan sebagainya. Prinsipnya kita hendaklah membunyikan kata-kata pinjaman itu menurut sistem bunyi bahasa Malaysia sendiri.

1.2       Kesimpulan

Salah tafsiran dalam penyampaian memang berlaku kerana tanggapan terhadap sesuatu makna yang disampaikan dalam adakalanya disalahtafsirkan oleh yang demikian dalam memahaminya kita perlunya berfikiran panjang agar ia tidak menimbulkan ketidakselesaan dalam kalangan kita.


Rujukan

Koh Boh Boon - Pengesanan Awal Dan Pemulihan Dalam Bidang Bacaan,Dewan Bahasa, DBP, September 1979.

Greene, Harry A. - Language Problems of the Disadvantaged, Allan and Bacon, Boston, 1968.

Illich, Ivan D. Deschooling Society, Penguin, Harmondworth, 1972

Jurnal Dewan Bahasa, DBP Mac 1987 Pentingnya Faktor-faktor Sosial dan Afektif dalam  Pelajaran Bahasa Sasaran, Dewan Bahasa, KL, Disember, 1988

Sharifah Alwiah Al-sagoff - Ilmu Pendidikan: Pedagogi, Heinemann, KL, 1986 Sosialogi    Pendidikan Heinemann, KL, 1987

Raminah Hj Sabran,Kaedah Penga.jaran Bahasa Malaysia. & Rahim Syam Fajar Bakti,  KL 1985. 

0 Komen Anda:

Catat Ulasan