Genesis Mining - Easy Mining

Rabu, 25 April 2018

CONTOH RUJUKAN TOKOH BAHASA DAN PERKEMBANGAN BAHASA MELAYU


Pengenalan                                       

Zaman penting bagi bahasa Melayu ialah pada zaman Kerajaan Melayu Melaka. Kerajaan Melayu Melaka yang telah menerima Islam dan berjaya membina empayar yang luas telah dapat meningkatkan kemajuan dan perkembangan bahasa Melayu di rantau ini. Bahasa Melayu telah digunakan dalam pentadbiran dan aktiviti perdagangan serta menjadi “lingua franca” para pedagang. Bahasa Melayu juga telah menjadi alat penyebaran agama Islam ke seluruh Kepulauan Melayu. Bahasa Melayu telah mendapat bentuk tulisan baru iaitu tulisan Jawi. Perbendaharaan kata juga telah bertambah dengan wujudnya keperluan untuk mengungkapkan idea-idea yang dibawa oleh peradaban Islam. Keagungan Kesultanan Melaka jelas tergambar di dalam “Sejarah Melayu” oleh Tun Seri Lanang, sebuah karya dalam bahasa Melayu yang sangat tinggi nilainya.

            Kedatangan orang-orang Eropah dan kejatuhan Kesultanan Melaka ke tangan Portugis pada tahun 1511 masihi tidak menamatkan pengaruh bahasa Melayu. Bahasa boleh diertikan sebagai satu sistem bunyi yang terdiri daripada alat-alat artikulasi yang ada pada mereka. Lambang-lambang yang diujarkan itu mempunyai makna-makna tertentu berdasarkan lingkungan masyarakat yang menuturkannya.Dalam setiap kegiatan manusia, bahasa memainkan peranan dan fungsi untuk memenuhi pelbagai tujuan dan matlamat tertentu. Antara fungsi bahasa yang amat ketara ialah peranannya sebagai alat untuk membantu manusia menyampaikan percakapan, buah fikiran dan maklumat kepada orang lain. Bloch dan Trager (1942), mendefinisikan bahasa sebagai sistem lambang-lambang vokal yang digunakan oleh manusia untuk berkomunikasi. Proses komunikasi bahasa berlaku apabila adanya penutur dan pendengar.

            Orang-orang Eropah yang datang ke Nusantara bukan sahaja datang untuk berdagang, malahan mereka mempunyai niat untuk mengembangkan agama Kristian. Banyak juga daripada mereka yang menjalankan penyelidikan tentang kesusasteraan tempatan.Dalam catatan-catatan dan penulisan-penulisan mereka, jelas kelihatan betapa penting dan luasnya penggunaan dan penyebaran yang berlaku terhadap bahasa Melayu pada ketika itu. Bahasa Melayu tersebar dengan luas dan menjadi Lingua Franca terutamanya di daerah kepulauan Melayu. Sifat bahasa Melayu yang dikatakan agak sederhana dan mudah untuk dipelajari menjadikan bahasa Melayu sentiasa mendapat perhatian pengkaji bahasa baik dari Timur mahupun orang-orang Eropah.Dari segi perancangan bahasa, negara Malaysia mempunyai dasar bahasa yang cukup jelas, iaitu mempunyai dasar Bahasa kebangsaan, dasar bahasa rasmi, dasar bahasa pendidikan, dan dasar bahasa untuk maksud-maksud tertentu atau khusus.

            Pemilihan bahasa kebangsaan lazimnya penuh dengan dengan cabaran dengan kepelbagaian etnik dan masyarakat di Malaysia. Kaum etnik yang mendiami negara ini bagaimanapun bersedia untuk bersatu melalui satu bahsa kebangsaan. Penerimaan bahsa Melayu sebagai bahasa kebangsaan berlaku sewaal 1947. Sebuah Perlembagaan Cadangan telah dibentuk oleh All Malaya Council of Joint Action (AMCJA) yang mewakili kaum bukan Melayu dan Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA) yang mewakili orang Melayu. Mereka mencadangkan supaya bahsa Melayu dijadikan bahasa kebangsaan tunggal negara. Bagaimanapun, penggunaan bahasa-bahasa lain tidak dihalang (Abdullah Hassan 1997: 2). Hasrat ini menjadi kenyataan apabila bahasa Melayu dimartabatkan sebagai bahasa kebangsaan dalam Artikel 152 Perlembagaan Malaysia.  Termetrinya bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi, maka rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai etnik serta berbeza budaya, agama dan bahasa cuba untuk disatukan melalui bahasa.Seterusnya ia berkembang dan melahirkan sebagaimana istilah Bahasa Melayu sebagai Bahasa Baku.

 Menurut Asmah Hj Omar (1984: 1-2), sebelum 1969, bahasa kebangsaan ini dikenali sebagai bahasa Melayu tetapi sesudah peristiwa 13 Mei 1969 bahasa ini diberi nama baru tetapi nama baru ini umpama pakaian baru yang dikenakan oleh orang perseorangan untuk tujuan tertentu tanpa menimbulkan sebarang perubahan pada dirinya. Nama ‘bahasa Malaysia’ mengambil tempat ‘bahasa Melayu’ kerana timbul hujah yang menyatakan bahasa Melayu seharusnya menjadi bahasa orang Melayu kerana bahasa ini adalah bahasa mereka dan bukan bahasa rakyat Malaysia seluruhnya. Rusuhan kaum 1969 merupakan dorongan ke arah pertukaran nama bahasa kebangsaan dari bahasa Melayu ke bahasa Malaysia. Bahasa kebangsaan sebenarnya adalah bahasa yang dimiliki oleh setiap orang dan kepunyaan setiap warganegara Malaysia, dan sepatutnya tidak timbul ia bahasa kaum tertentu dan dipaksa ke atas kaum lain.

            Menurut Chomsky (1957). Setiap penutur dan pendengar mempunyai dua perkara penting iaitu kecekapan bahasa dan pengucapan bahasa. Kecekapan bahasa berada dalam otak manusia dan ia diertikan sebagai satu sistem rumus bahasa yang mampu menghasilkan kalimat yang tidak terbatas banyaknya.Dari segi pragmatik, ahli-ahli linguistik bersetuju bahawa bahasa merupakan satu sistem yang menghubungkan maksud kepada bunyi, sama ada berdasarkan aksi penutur atau pendengar.

            Dengan andaian bahawa manusia mempunyai beberapa makna yang hendak disampaikan, dia mengucapkan bunyi-bunyi dengan tepat. Orang yang mendengar bunyi-bunyi tersebut akan cuba memberikan makna kepada ujaran yang dilafazkan oleh penutur. Menurut Amat Juhari Moain (2006:27) ,terdapat 5 zaman perkembangan bahasa Melayu.Ini membuktikan bahawa bahasa Melayu tersebar dan berkembang secara bertahap–tahap iaitu dari zaman ke zaman.Lima zaman tersebut ialah zaman bahasa Melayu Purba, Melayu Kuno, Melayu Klasik, Melayu Pramoden dan Melayu Moden. Secara ringkasnya, berdasarkan pengklasifikasi zaman-zaman perkembangan telah membuktikan bahawa bahasa Melayu berkembang dan mempunyai sejarah penyebarannya.

Latar belakang Tokoh                                 

Tan Sri Dr Zainal Abidin Ahmad atau nama pena Za’ba merupakan ahli sasterawan dan pemikir Melayu berketurunan Minangkabau yang mula bergiat aktif dalam dunia persuratan bahasa sekitar 1940an. Beliau dilahirkan pada 16 September 1895 di Kampung Kerdas, Jempol, batu kikir, Negeri Sembilan. Za’ba sepanjang perjuangan hidup beliau melibatkan diri dengan pelbagai genre dalam bidang penulisan iaitu bahasa, kesusasteraan dan kebudayaan Melayu, agama, serta etika dan ekonomi orang Melayu. Namun demikian, perhatian dan minat beliau telah cenderung dalam bidang bahasa yang akhirnya mendorong kesungguhan beliau dalam memperjuangkan dan memartabatkan bahasa Melayu dengan memperluas dan mengekalkan keindahan dan keunikan bahasa Melayu di mata masyarakat dengan dibantu oleh kesedaran serta keyakinan mendalam.  Za’ba merupakan seorang yang disanjung dan dikenang sebagai pejuang bangsa, ilmuan pendidikan dan bahasa, tokoh agama dan politik di tanah melayu.
            Di antara karya yang telah dihasilkan oleh beliau ialah Pelita Bahasa Melayu, Ilmu Mengarang Melayu dan Daftar Ejaan Melayu Jawi atau Rumi yang menjadi rujukan dalam penggunaan tatabahasa Bahasa Melayu. Di antara rencana beliau yang terkenal ialah Modern Developments of Malay Literature dan Malay Journalism in Malaya.  Di samping buku bahasa Melayu, beliau turut bergiat menterjemahkan buku-buku asing ke Bahasa Melayu untuk mengisi kekosongan buku-buku pengetahuan dalam Bahasa Melayu. Di antara nama pena yang digunakan oleh beliau ialah Anak Melayu Jati, Patriot; yang bermaksud, orang yang kasihkan bangsa dan tanah airnya, Za’ba, Z Penjelmaan, Z Penjelmaan c/o Patriot, Melayu yang beragama Islam, Z dan Melayu, Yang Hina Patriot. 

Susur Galur Pendidikan dan Kerjaya       

Za’ ba mendapat pendidikan di Sekolah Melayu Linggi pada tahun 1907.  Mendapat pendidikan menengah di St. Paul Institution, Seremban sehingga lulus Senior Cambridge.  Beliau pernah bekerja sebagai Guru Bahasa Melayu di English College, Johor Baharu, sebagai penterjemah pengarang Berita Radio, penulis Setiausaha Agung UMNO, pensyarah Bahasa Melayu di Universiti London dan terakhir sekali sebagai Ketua Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Malaya, Singapura. Dalam bidang pendidikan Za’ba merupakan seorang guru dan pensyarah yang pernah bertugas sebagai pendidik di beberapa buah institusi pendidikan seperti berikut :
a. Kolej Melayu Kuala Kangsar - 1918
b. Jabatan Pendidikan, Kuala Lumpur - 1923
c. Kolej Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim - 1924
d. Jabatan Maklumat, Singapura sehingga 1939 - 1942
e. Pusat Pengajian Kajian Timur dan Afrika, Universiti London 1942 sehingga 1951
f. Universiti Malaya, Singapura 1954 sehingga 1959.
            Jasa dan penglibatan beliau sangat besar dan telah dikurniakan beberapa anugerah seperti Doktor Persuratan dari Universiti Malaya dan Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau telah dianugerahkan pingat PMN pada tahun 1962 yang membawa gelaran Tan Sri oleh Yang Di Pertuan Agong. Gelaran Pendeta pula dikurniakan ketika berlangsungnya Majlis Kongres Bahasa Melayu dan Persuratan Melayu kali -3 di Johor Baharu pada tahun 1956.

            Za’ba merupakan seorang yang gemar membaca dan memiliki bakat dalam bidang penulisan.Kerjaya sebagai penulis telah menghasilkan pelbagai hasil karya yang dijadikan sebagai bahan rujukan generasi masa kini. Penulisannya diterbitkan dalam akhbar-akhbar tempatan dan majalah-majalah pada masa lalu seperti Utusan Melayu, Lembaga Melayu, Pangasuh, dan Pakar Majalah. Beliau juga telah menghasilkan dan menerbitkan beberapa siri monograf dalam bahasa Melayu, termasuklah Bahasa Pelita, dan Ilmu Mengarang. Contoh penghasilan karya lain adalah seperti cerita-cerita Shakespeare yang diterbitkan oleh Percetakan Gudang Chap, Singapura. Hasil-hasil karya dalam bidang perkembangan bahasa melayu yang menjadi sumber dan bahan arkib serta rujukan sepanjang zaman adalah seperti :-
i.          Pelita Bahasa Melayu II (Rumi) -
Rujukan latihan penulisan bagi pelajar sekolah rendah.
ii.         Pelita Bahasa Melayu III (Rumi) -
Rujukan Latihan Penulisan bagi sekolah menengah.
iii.        Ilmu mengarang Melayu (Jawi) -
Rujukan Penulisan bagi pelajar-pelajar di kolej.
iv.        Daftar Ejaan Melayu (Jawi-Rumi) -
Daftar perkataan-perkataan Melayu dengan ejaan jawi dan rumi serta undang-undang ejaannya.
v.         Kata-kata yang Tidak Tetap dalam Tulisan Melayu Rumi dan Kitab Rahsia Ejaan Jawi (1930)
vi.        Kaedah Karangan Bahasa Melayu terangkum dalam Kitab Pelita Mengarang (1931)
vii.      Bahasa Melayu dan Bahasa Indonesia (1958)
viii.      Bahasa Melayu Kelebihan dan Kekurangan (1954)
ix.        Bahasa Melayu dengan Tulisannya (1958)

Karya Buku Pelita Bahasa Melayu II                    

Buku Pelita Bahasa Melayu II siap ditulis pada tahun 1942 tetapi ditangguhkan penerbitannya ke tahun 1946 sesudah dibaiki dan disemak. Tiga tahun kemudian terbit Pelita Bahasa Melayu Penggal III. Za’ba melihat penulisan atau karangan sebagai satu wacana iaitu wacana bertulis yang berbeza dengan wacana lisan.  buku Pelita Bahasa Melayu ialah karya kedua terpenting selepas Profesor Emeritus Linguistik Melayu Universiti Malaya. Karya-karya Za’ba dikatakan penting kerana telah meletakkan asas sumber pengetahuan dan rujukan Bahasa Melayu dari pelbagai aspek perkembangan bahasa. Berdasarkan hasil penulisan beliau kita dapat melihat perjuangan serta sumbangan beliau terhadap bangsa dan negara kita ini khasnya dalam bidang bahasa khusus kepada rujukan dan bahan dalam menghasilkan penulisan yang baik.

Dalam buku Pelita Bahasa Melayu II Za’ba dengan jelas membezakan pengetahuan nahu dengan kemahiran bahasa. Kemahiran manusia menggunakan bahasa tidak semestinya dapat menjelaskan aspek-aspek yang berkaitan dengan pengunaan nahu dalam bahasa. Dalam proses pembelajaran bahasa, kita tidak perlu terlebih dahulu belajar berkaitan aspek nahu. Za’ba merumuskan penggunaan bahasa sebagai satu aspek kemahiran, dan kemahiran tersebut memerlukan latihan. Kemahiran dalam penggunaan bahasa setiap hari itu pula perlulah dilanjutkan kepada kemahiran menulis atau mengarang. Pemikiran Za’ba berkaitan kemahiran bahasa seperti ini tidaklah bermakna beliau tidak menitikberatkan aspek nahu. Malahan, Beliau melihat peranan nahu pada dua peringkat pembelajaran yang saling melengkapkan diantara satu sama lain iaitu pada peringkat bahasa pertama dan pada peringkat bahasa kedua.  Pada peringkat bahasa pertama, nahu merupakan aspek yang digunakan untuk mengukuhkan pengetahuan pengguna bahasa berkaitan dengan susunan ayat dan fungsi-fungsi perkataan, dan dengan itu nahu boleh menjadi sumber dalam penulisan.

Buku Pelita Bahasa Melayu II yang terhasil pada asalnya sebanyak 202 muka surat dan yang akhirnya dikemaskini memberi fokus lengkap kepada asas penulisan yang menekankan bahawa penulisan terbentuk daripada sekumpulan ayat. Ayat yang bermula dengan asas subjek dan predikat, seterusnya frasa huraian yang akan dikembangkan kepada jenis serta ragam ayat, tanda baca dan penggunaan rangkai kata bagi setiap penerangan. Dalam buku ini juga Za’ba memberikan contoh dan cara penulisan daripada penulisan biasa hinggalah kepada penulisan genre tradisional, cereka dan surat kiriman.

Sasaran Pembaca                             

Buku ini ditulis khas sebagai bahan dan sumber rujukan pendidik dan murid di peringkat sekolah rendah. Buku ini merupakan hasil yang khas sebagai rujukan guru dalam membantu murid-murid sekolah rendah menguasai cara penulisan dengan pelbagai genre penulisan.

Kumpulan Sasaran                          

Buku ini disasarkan kepada kumpulan pendidik untuk membantu pelajar mereka menguasai kemahiran penulisan yang lengkap dan teratur dengan sumbangan idea dan contoh kemudian disertakan sekali dengan latihan pada setiap akhir setiap bab bagi membolehkan pelajar menguasai kemahiran menulis dengan baik.

Kandungan Buku                            

Buku Pelita Bahasa Melayu II mengandungi 12 bab yang disusun mengikut urutan dimulakan dengan asas permulaan mengarang, perenggan dan cara-cara atau petua dalam setiap genre penulisan. Bab-bab tersebut adalah seperti berikut :-
Bab 1               – Permulaan Mengarang
Bab II             – Lain-lain Latihan Membuat Ayat
Bab III            – Mengarang Ayat-ayat Tunggal Jadi Cerita : Menyambung-
   nyambungkannya
Bab IV            – Cara-cara Menyambung Ayat
Bab V              – Memakai Tanda-tanda Berhenti Dalam Tulisan Melayu (Jawi)
Bab VI            – Memakai Tanda-tanda Berhenti (Sambungan)
Bab VII           – Cakap Ajuk dan Cakap Pindah
Bab VIII         – Permulaan Berlatih Mengarang
Bab IX            – Lagi Latihan Mula-mula Mengarang
Bab X              – Perkataan-perkataan Pembatas Karangan
Bab XII           – Perkataan-perkataan Penghabis Karangan

Berdasarkan bab dan kandungan buku ini, ia merupakan rujukan lengkap bagi menghasilkan sebuah penulisan yang baik selain melatih murid menggunakan bahasa dengan betul.

Impak Hasil Karya                                      

Penghasilan buku ini telah memberi impak yang amat berguna untuk menghasilkan penulisan yang baik kerana ia disusun dengan penerangan dan penjelasan tatacara penggunaan bahasa penulisan secara teratur. Za’ba jelas berpendirian bahawa bahasa adalah “alat mengeluarkan fikiran”. Perkaitan di antara kedua-duanya itu sangat erat, dalam erti kata bahasa yang digunakan itu hendaklah dengan tepat menggambarkan fikiran. Za’ba mengatur pedoman penggunaan bahasa, khususnya dalam karang-mengarang. Katanya :
Bahasa itu alat mengeluarkan fikiran supaya dapat diketahui orang dengan mendengar atau membacanya. Maka jika bahasa yang dipakai itu tidak menepati betul-betul seperti maksud yang di dalam hati, tentulah orang tersalah faham atau tiada dapat oleh mereka tujuan yang dikehendakkan itu.
(Bab Permulaan, Ceraian 4)

Za’ba mengajar bukan setakat bahasa sahaja, tetapi menanamkan semangat dan kedudukan Bahasa Melayu itu sendiri. Za’ba juga pernah mengkaji penggunaan bahasa dalam akhbar pada tahun 1900-1941. Bahasa sekitar tahun ini menggunakan bahasa mudah, bahasa pengarang dan tersendiri. Ada juga yang cenderung menggunakan perkataan lama dan ungkapan pinjaman dari Bahasa Arab. Dengan penghasilan buku ini beliau mengabungkan elemen tatacara penulisan yang lengkap berdasarkan kepada kajian dan perkembangan bahasa tersebut.
Sorotan Kajian                                 

Selaras dengan semangat yang ditunjukkan oleh Za'ba dalam perkembangan Bahasa Melayu, maka semua pihak yang terlibat dalam memelihara kepentingan Bahasa Melayu perlulah sama-sama mendaulatkan penggunaan Bahasa Melayu. Jika, dari segi rasionalnya, sistem yang disempurnakan itu masih belum sempurna, maka aspek-aspek yang belum sempurna itu hendaklah dikenalpasti dan penyelesaian ke atasnya dicari secara rasional agar dicari jalan pelengkap bersama-sama untuk memperbaiki lagi apa yang telah dicuba untuk disempurnakan.  Usaha dan sumbangan Za’ba perlulah dikaji kerana semuanya itu dapat menyemai bibit-bibit semangat cintakan negara dan bangsa Melayu untuk generasi muda hari ini yang jauh dan buta daripada perjuangannya itu kerana perjuangan beliau sentiasa ditunjangi oleh ketabahan, kecekalan dan keyakinan.

            Walaupun Za’ba berpendidikan Inggeris tetapi beliau tetap berjuang gigih untuk memartabatkan Bahasa Melayu, sama seperti pejuang bahasa pada hari ini. Usaha Universiti Pendidikan Sultan Idris mewujudkan Kursi Za’ba dalam rangka mengimarahkan dunia kesarjanaan dalam bidang pengajian Melayu merupakan usaha yang terpuji, bukan sahaja sebagai mengenang jasa bakti beliau sebagai antara tokoh yang menjadi tonggak Sultan Idris Training College yang merupakan institusi awal universiti tersebut, malah sebagai penghargaan yang hak baginya sebagai perintis bahasa Melayu baharu. Demikian juga usaha kerajaan Negeri Sembilan mewujudkan Teratak Za’ba yang bersifat muzium tokoh seakan-akan Muzium Hemingway di England dan tertubuhnya Yayasan Pendeta Za’ba pada 7 November 1986 oleh Badan Kebajikan Anak-Anak Melayu Negeri Sembilan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur itu akan dapat mengabadikan sumbangan Za’ba dalam melanjutkan tradisi keilmuan di rantau berbahasa Melayu ini.





Bahasa Melayu Klasik                                             
Menurut Ismail Hussein,“pembahagian yang dibuat oleh adalah atas pertimbangan sejarah perkembangan bahasa Melayu. Hal ini dapat dibahagikan mengikut zaman politik Srivijaya, Majapahit, Melaka, dan sebagainya, pengaruh kebudayaan seperti Hindu, Islam, dan Barat atau mengikut zaman tulisan yang digunakan seperti tulisan Melayu Kuno yang diambil dari India, tulisan Arab, dan akhir sekali tulisan Latin. Contohnya pada zaman politik Srivijaya, masyarakatnya yang beragama Hindu dan Buddha, menggunakan tulisan yang dibawa dari India, sasteranya dipenuhi oleh cerita-cerita sastera India dan bahasa Melayunya, dengan pinjaman kata-kata Sanskrit.
Dalam masa yang sama bahasa Melayu Klasik digunakan oleh pengarang untuk tujuan menghasilkan sesebuah karya dalam bidang kesusasteraan, ketatanegaraan, kebudayaan, kemasyarakatan dan keagamaan. Seiring dengan kemunculan bahasa Melayu Klasik, pengaruh Hindu dilihat mula hilang sedikit demi sedikit sehinggalah ke abad ke-15. Bahasa Melayu Klasik mula berkembang pada abad ke -13 dan ke -14. Buktinya ialah penemuan beberapa buah prasasti. Ketika itu juga bahasa Melayu Klasik telah digunakan sebagai lingua –franca iaitu zaman kerajaan Melayu Melaka. Penggunaan bahasa Melayu Klasik ini jelas dalam aktiviit perdagangan dan penyebaran agama Islam.
            Bukti tentang penyebaran agama islam menggunakan bahasa Melayu Klasik adalah penghasilan kitab-kitab agama. Antara kitab yang dihasilkan ialah Furu’ Al-Masa’il oleh Syed Muhammad Daud Al-Fatani,dan Sabil Al-Muhtadin oleh Syed Muhammad Arsyad Al-Banjari .Kandungan kitab-kitab ini adalah mengenai agama seperti al- Hadith, feqah, tafsir al-quran, tasawuf, di samping sejarah, hikayat, hal ehwal haiwan, perdukunan, perubatan Melayu, bintang dua belas, pentadbiran dan pemerintahan, falsafah dan pengembaraan. Secara ringkasnya bahasa Melayu Klasik meluas dalam kalangan orang bukan Melayu dari kelompok Asia, juga dalam kelompok orang Eropah dan Asia Barat yang datang ke Asia Tenggara.

Doktor Zaitul Azma telah mengatakan bahawa perkembangan bahasa Melayu Klasik mempunyai perkaitan dengan perkembangan karya sastera. Perkembangan kesusasteraan memberikan gambaran tentang sejarah silam sesuatu bangsa dari segi kebudayaan,dan keperibadian bangsa. Terdapat beberapa definisi yang telah diutarakan oleh pengkaji bahasa.Antaranya ialah Asmah Hj.Omar (1985:33), “ bahasa abad ketiga belas dan ketujuh belas itu dinamakan bahasa Melayu Klasik”.

Bahasa Melayu Moden                                
Menurut Amat Juhari(2006), bahasa Melayu Pramoden bermula pada abad ke -19. Buktinya ialah kedatangan pendatang luar ke Asia Tenggara untuk menguasai Asia Tenggara.Pendatang bangsa barat ini bukan sahaja menguasai ekonomi, tetapi politik. Bagi mengukuhkan kedudukan di tanah Melayu, mereka telah mengkaji bahasa dan budaya pribumi. Hasil kajian ini telah mewujudkan pusat-pusat pengajian tentang bahasa, sastera dan budaya pribumi terutama Melayu. Manuskrip-manuskrip Melayu dan bahan-bahan tinggalan sejarah,budaya dan sastera Melayu telah dikumpulkan di perpustakaan- perpustakaan barat ini. Dalam masa yang sama,perkataan-perkataan daripada bahasa barat seperti Inggeris dan Belanda mula meresap ke dalam bahasa Melayu.
            Proses ini berlaku secara sedikit demi sedikit. Kesan penyerapan bahasa ini telah mengakibatkan kegiatan penulisan Melayu mula menggusur dari istana-istana raja seperti dalam zaman bahasa melayu Klasik ke dalam masyarakat umum.Dengan kata lain, kegiatan penulisan dalam bahasa Melayu sudah mula memasyarakat dan merakyat. Zaman bahasa Melayu Pramoden ini juga, terdapat banyak hasil penulisan seperti buku “Sejarah Melayu, Taj al- Salatin, Hikayat Abdullah dan lain-lain.Selain itu, zaman ini turut mencetak banyak kitab –kitab agama di Asia Tenggara. Abdul Rashid Melebek (2006) juga mengatakan bahawa berlakunya beberapa peristiwa pada abad ke-19.Antaranya ialah pertembungan budaya Melayu dengan Barat, perkembangan teknologi cetak,serta perkembangan perhubungan yang lebih mudah telah menjadikan bahasa Melayu terdedah kepada pengaruh Barat. Oleh yang demikian,perkembangan ini bagaikan satu era yang menyebabkan bahasa Melayu diresapi oleh unsur-unsur Barat sehingga berlaku beberapa perubahan pada Bahasa Melayu. Bagi melihat dan mendekati perkembangan semasa Tokoh Za’ba atau Nama sebenar beliau Zainal Abidin Ahmad.

Kesimpulan                                                   
                                               
Pendeta Za’ba serta semua karyanya adalah sebenar-benarnya Warisan bangsa yang amat berharga khasnya dalam bidang bahasa dan kesusasteraan melayu yang harus dikenang oleh generasi masa kini sebagai sumber rujukan pada sepanjang zaman.  Dalam perspektif sejarah penulisan tatabahasa Bahasa Melayu, Za’ba merupakan satu-satunya ahli bahasa tempatan yang menghasilkan tatabahasa Bahasa Melayu dalam bahasanya yang tersendiri. Jika ingin dikaitkan dengan hasrat dan cita-cita Abdullah Abdul Kadir Munshi yang ingin menghasilkan karya tatabahasa Bahasa Melayu sejak akhir abad kesembilan belas yang tidak kesampaian, tetapi Za’ba telah merealisasikan dan menyempurnakan cita-cita tersebut. Buku Pelita Bahasa Melayu II pula merupakan bahan rujukan yang boleh diwarisi sebagai bahan untuk meningkatkan martabat bahasa seterusnya dikemaskini mengikut perkembangan bahasa semasa yang kian berkembang selari dengan masa.

Rujukan                                                                    

Abdullah Hassan, (1980). Lingustik Am Untuk Guru Bahasa Malaysia, Petaling Jaya :  Fajar Bakti

Arbak Othman,(1984)Tatabahasa bahasa Malaysia, Kuala Lumpur : Penerbitan   Sarjana (M) Sdn. Bhd.

Harun Aminurrashid, (1996).  Sejarah Perkembangan Bahasa Melayu.  Sinapura: Pustaka Melayu

Hashim Musa, (1997). Epigrafi Melayu: Sejarah Sistem Tulisan dalam Bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Indirawati Zahid dan Mardian Shah Omar, (2006). Fonetik dan Fonologi. Batu Caves:  PTS Publications.

Nik Safiah Karim et. al (2006) Tatabahasa Dewan Edisi Baharu, Kuala Lumpur : Dewan Pustaka.

Za’ba (1946) Pelita Bahasa Melayu II, Kuala Lumpur : Dewan Pustaka.

0 Komen Anda:

Catat Ulasan