Sabtu, 12 Januari 2013
Pengintegrasian Bahan Multimedia Dalam Pengajaran dan Pembelajaran
Menurut
Zoraini Wati (1996) dalam Siti Norazlina (2008), tidak ada gunanya jika
komputer digunakan, tetapi guru tidak mahu menggunakannya dengan baik dan murid
tidak mendapat manfaat daripadanya. Oleh itu, keberkesanan dan kemantapan
proses pengajaran dan pembelajaran menggunakan komputer bergantung pada
keupayaan serta kebolehan para guru mengaplikasikan media teknologi maklumat
yang ada untuk menyampaikan isi pelajaran kepada murid dengan lebih berkesan
dan secara interaktif.
Dalam pengintegrasian pengajaran dan
pembelajaran berbantukan komputer, terdapat pelbagai bahan multimedia yang
menjadi tarikan kepada murid-murid khususnya murid peringkat sekolah rendah.
Bahan multimedia ini boleh didapati dalam pelbagai bentuk seperti CD-ROM dan
juga bahan berasaskan internet. Menurut Mayer (2001), penggunaan multimedia
dapat mewujudkan pembelajaran secara aktif kerana kesemua pancaindera murid
dapat dirangsang untuk mengingati fakta-fakta dengan lebih baik dan jelas.
Penggunaan grafik dan video dapat mempercepat proses yang rumit manakala
penggunaan audio dapat memberikan murid pendedahan kepada sebutan yang betul
(Khine dan Fisher 2003).
Walau bagaimanapun, penyediaan bahan multimedia
dalam Bahasa Melayu sangat berkurangan berbanding bahasa Inggeris (Yahya et al.
2009). Kurangnya bahan ini menjadi kekangan pada guru-guru BM untuk mengajarkan
bacaan menggunakan multimedia. Masalah berkaitan keupayaan para guru
menggunakan komputer dalam pengajaran Bahasa Melayu ini disebabkan oleh
beberapa faktor, seperti kurangnya pengetahuan dan kepakaran yang dimiliki oleh
guru-guru sehingga menyebabkan kesukaran dalam penyediaan bahan berbantukan
komputer (Schibeci et al. 2008).
Disebabkan hal sedemikian, para guru
kurang berminat dan bermotivasi untuk mengintegrasikan pengajaran berbantukan
komputer dalam pengajaran dan pembelajaran walaupun nyatanya kebanyakan guru di
negara ini mempunyai pandangan dan persepsi yang positif terhadap penggunaan
komputer dalam pengajaran dan pembelajaran (Matali 2002; Chong 2001). Penggunaan
komputer dalam pengajaran bahasa Melayu tidaklah mudah jika dalam kalangan guru kurang berpengetahuan dan kepakaran dalam penguasaan bidang teknologi maklumat dan
komunikasi ini. Hasil kajian Suwarnee (2006), Ros Azura (2004), Hamzah h (2004)
dalam Zamri dan Mohamed Amin (2008) mendapati bahawa tahap pengetahuan dan
kepakaran guru-guru Bahasa Melayu masih berada pada tahap sederhana.
Rujukan carian halaman blog dan google.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 Komen Anda:
Catat Ulasan