Selasa, 1 Januari 2013
Contoh Definisi Membaca
Selasa, Januari 01, 2013
No comments
Membaca adalah
kemahiran yang kompleks dan banyak definisi diberikan untuk menjelaskan maksud
bacaan. Secara asasnya, membaca mengandungi dua proses asas, iaitu ”nyah kod”
(decode) dan pemahaman. Proses nyah kod melibatkan pemahaman tentang hubungan
antara huruf-huruf dan menterjemahkan perkataan tulisan kepada bentuk yang sama
dengan bahasa lisan. Oleh itu, kemahiran nyah kod membolehkan seseorang
menyebut perkataan yang ditulis dengan betul. Manakala proses pemahaman pula
membolehkan seseorang memahami makna sesuatu perkataan atau makna perkataan
mengikut konteks.
Harris dan Sipay (1980)
menyifatkan proses membaca sebagai proses untuk memperolehi tafsiran yang
bermakna tentang lambang-lambang bercetak atau bertulis. Manakala Kenedy (1981)
pula mendefinisikan bacaan sebagai keupayaan seseorang untuk mengecam bentuk
visual (lambang-lambang grafik yang mewakili bahasa atau perkataan),
menghubungkan bentuk itu dengan bunyi atau makna yang telah diketahui, dan
seterusnya berasaskan pengalaman lalu, memahami dan mentafsirkan maksudnya
(Marohaini Yusoff, 1989).
Smith
(1998) pula berpendapat membaca merupakan satu bentuk komunikasi. Membaca
merupakan percantuman beberapa proses yang kompleks iaitu proses mengamati,
mendengar, mengingati, membezakan bunyi-bunyi dengan tepat, menyebut
lambang-lambang yang dibaca kepada sisitem kognatif untuk diterjemah dan
difahami. Marohaini Yusoff (1989) telah merumuskan bahawa
perlakuan membaca adalah perlakuan yang kompleks dan tidak dapat diperhatikan.
Cuma dua komponen kemahiran utama yang dipersetujui wujud dalam kemahiran
membaca iaitu kemahiran mengenal atau mengecam perkataan dan kemahiran memahami
apa yang dibaca. Sesuatu perlakuan membaca mesti dapat menghasilkan pemahaman
selain pengecaman dan penyebutan perkataan-perkataan. Maksudnya, untuk menjadi pembaca yang berkesan, seseorang itu tidak perlu dapat menyebut perkataan dengan betul dan lancar asalkan dia tahu makna perkataan-perkataan yang dibacanya. Semasa membaca, seseorang itu perlu
berfikir, merasai, dan membayangkan apa yang dibaca.
Membaca merupakan salah
satu sumber pengetahuan dan asas pembentukan diri ke arah memperoleh ilmu
pengetahuan. Tujuan membaca bagi memahami teks yang dibaca dan kandungan teks
memberi makna kepada pembaca (Yahya 2004). Keupayaan membaca merupakan suatu
kemahiran yang amat bernilai dan merupakan proses yang dinamik, iaitu
memerlukan komunikasi yang aktif dan bermakna antara pembaca dengan penulis.
Membaca juga dikatakan sebagai keupayaan seseorang mengecam bentuk visual dan
menghubungkan antara bentuk dengan bunyi dan melalui pengalaman serta berupaya
mentafsirkan maksudnya. Pemahaman bacaan bergantung pada gabungan dari segi
pengetahuan bahasa, gaya kognitif, dan pengalaman membaca.
Sumber :
Carian Google
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 Komen Anda:
Catat Ulasan