Sabtu, 12 Januari 2013
Pengintegrasian Bahan Multimedia Dalam Pengajaran dan Pembelajaran
Menurut
Zoraini Wati (1996) dalam Siti Norazlina (2008), tidak ada gunanya jika
komputer digunakan, tetapi guru tidak mahu menggunakannya dengan baik dan murid
tidak mendapat manfaat daripadanya. Oleh itu, keberkesanan dan kemantapan
proses pengajaran dan pembelajaran menggunakan komputer bergantung pada
keupayaan serta kebolehan para guru mengaplikasikan media teknologi maklumat
yang ada untuk menyampaikan isi pelajaran kepada murid dengan lebih berkesan
dan secara interaktif.
Dalam pengintegrasian pengajaran dan
pembelajaran berbantukan komputer, terdapat pelbagai bahan multimedia yang
menjadi tarikan kepada murid-murid khususnya murid peringkat sekolah rendah.
Bahan multimedia ini boleh didapati dalam pelbagai bentuk seperti CD-ROM dan
juga bahan berasaskan internet. Menurut Mayer (2001), penggunaan multimedia
dapat mewujudkan pembelajaran secara aktif kerana kesemua pancaindera murid
dapat dirangsang untuk mengingati fakta-fakta dengan lebih baik dan jelas.
Penggunaan grafik dan video dapat mempercepat proses yang rumit manakala
penggunaan audio dapat memberikan murid pendedahan kepada sebutan yang betul
(Khine dan Fisher 2003).
Walau bagaimanapun, penyediaan bahan multimedia
dalam Bahasa Melayu sangat berkurangan berbanding bahasa Inggeris (Yahya et al.
2009). Kurangnya bahan ini menjadi kekangan pada guru-guru BM untuk mengajarkan
bacaan menggunakan multimedia. Masalah berkaitan keupayaan para guru
menggunakan komputer dalam pengajaran Bahasa Melayu ini disebabkan oleh
beberapa faktor, seperti kurangnya pengetahuan dan kepakaran yang dimiliki oleh
guru-guru sehingga menyebabkan kesukaran dalam penyediaan bahan berbantukan
komputer (Schibeci et al. 2008).
Disebabkan hal sedemikian, para guru
kurang berminat dan bermotivasi untuk mengintegrasikan pengajaran berbantukan
komputer dalam pengajaran dan pembelajaran walaupun nyatanya kebanyakan guru di
negara ini mempunyai pandangan dan persepsi yang positif terhadap penggunaan
komputer dalam pengajaran dan pembelajaran (Matali 2002; Chong 2001). Penggunaan
komputer dalam pengajaran bahasa Melayu tidaklah mudah jika dalam kalangan guru kurang berpengetahuan dan kepakaran dalam penguasaan bidang teknologi maklumat dan
komunikasi ini. Hasil kajian Suwarnee (2006), Ros Azura (2004), Hamzah h (2004)
dalam Zamri dan Mohamed Amin (2008) mendapati bahawa tahap pengetahuan dan
kepakaran guru-guru Bahasa Melayu masih berada pada tahap sederhana.
Rujukan carian halaman blog dan google.
Khamis, 3 Januari 2013
Teknologi Pendidikan Dalam Pengajaran Dan Pembelajaran
Perkembangan dan kemajuan teknologi
maklumat dan komunikasi dalam bidang pendidikan telah dapat menarik perhatian
para pendidik masa kini (Wang, 2008). Dengan adanya kemajuan dan kemudahan ini
membolehkan ilmu lebih mudah diakses, disebar dan disimpan. Tambahan lagi
menurut Zamri dan Mohamed Amin (2008), kecanggihan serta kemampuan komputer
menyampaikan sesuatu maklumat secara cepat, tepat dan menarik dalam bentuk
multimedia menjadikannya sebagai satu daya tarikan ke arah mewujudkan satu
senario belajar yang lebih menyeronokkan dan sekaligus banyak mempengaruhi
corak pembelajaran masa kini.
Pengajaran Bahasa Melayu sudah tentu
tidak terkecuali daripada pengaruh teknologi maklumat dan komunikasi. Walaupun
mata pelajaran Bahasa Melayu hanya melibatkan penguasaan kemahiran bahasa yang
kelihatannya agak mudah untuk dikuasai, namun masih terdapat beberapa isu yang
dianggap boleh mengganggu keberkesanan pengajaran (Yahya dan Roselan 2007).
Satu daripada isu tersebut dapat dilihat apabila masih terdapatnya murid yang
tidak dapat memahami teks yang dibaca dengan sempurna. Dalam hal ini, seseorang
murid itu tidak dianggap menguasai kemahiran membaca jika tidak berupaya
membina kefahaman tentang apa yang dibacanya (Korabiak dan Mete 2004).
Oleh hal yang demikian, penggunaan
komputer dalam pengajaran bacaan dilihat sebagai satu usaha untuk memberikan
impak terhadap permasalahan penguasaan bacaan (Yahya dan Roselan 2007).
Tambahan lagi, menurut Lewin (2000), penggunaan komputer seperti komputer,
CD-ROM dan buku cerita interaktif dipercayai dapat meningkatkan kemahiran
membaca dalam kalangan murid, khususnya murid sekolah rendah.
Selasa, 1 Januari 2013
Contoh Definisi Membaca
Selasa, Januari 01, 2013
No comments
Membaca adalah
kemahiran yang kompleks dan banyak definisi diberikan untuk menjelaskan maksud
bacaan. Secara asasnya, membaca mengandungi dua proses asas, iaitu ”nyah kod”
(decode) dan pemahaman. Proses nyah kod melibatkan pemahaman tentang hubungan
antara huruf-huruf dan menterjemahkan perkataan tulisan kepada bentuk yang sama
dengan bahasa lisan. Oleh itu, kemahiran nyah kod membolehkan seseorang
menyebut perkataan yang ditulis dengan betul. Manakala proses pemahaman pula
membolehkan seseorang memahami makna sesuatu perkataan atau makna perkataan
mengikut konteks.
Harris dan Sipay (1980)
menyifatkan proses membaca sebagai proses untuk memperolehi tafsiran yang
bermakna tentang lambang-lambang bercetak atau bertulis. Manakala Kenedy (1981)
pula mendefinisikan bacaan sebagai keupayaan seseorang untuk mengecam bentuk
visual (lambang-lambang grafik yang mewakili bahasa atau perkataan),
menghubungkan bentuk itu dengan bunyi atau makna yang telah diketahui, dan
seterusnya berasaskan pengalaman lalu, memahami dan mentafsirkan maksudnya
(Marohaini Yusoff, 1989).
Smith
(1998) pula berpendapat membaca merupakan satu bentuk komunikasi. Membaca
merupakan percantuman beberapa proses yang kompleks iaitu proses mengamati,
mendengar, mengingati, membezakan bunyi-bunyi dengan tepat, menyebut
lambang-lambang yang dibaca kepada sisitem kognatif untuk diterjemah dan
difahami. Marohaini Yusoff (1989) telah merumuskan bahawa
perlakuan membaca adalah perlakuan yang kompleks dan tidak dapat diperhatikan.
Cuma dua komponen kemahiran utama yang dipersetujui wujud dalam kemahiran
membaca iaitu kemahiran mengenal atau mengecam perkataan dan kemahiran memahami
apa yang dibaca. Sesuatu perlakuan membaca mesti dapat menghasilkan pemahaman
selain pengecaman dan penyebutan perkataan-perkataan. Maksudnya, untuk menjadi pembaca yang berkesan, seseorang itu tidak perlu dapat menyebut perkataan dengan betul dan lancar asalkan dia tahu makna perkataan-perkataan yang dibacanya. Semasa membaca, seseorang itu perlu
berfikir, merasai, dan membayangkan apa yang dibaca.
Membaca merupakan salah
satu sumber pengetahuan dan asas pembentukan diri ke arah memperoleh ilmu
pengetahuan. Tujuan membaca bagi memahami teks yang dibaca dan kandungan teks
memberi makna kepada pembaca (Yahya 2004). Keupayaan membaca merupakan suatu
kemahiran yang amat bernilai dan merupakan proses yang dinamik, iaitu
memerlukan komunikasi yang aktif dan bermakna antara pembaca dengan penulis.
Membaca juga dikatakan sebagai keupayaan seseorang mengecam bentuk visual dan
menghubungkan antara bentuk dengan bunyi dan melalui pengalaman serta berupaya
mentafsirkan maksudnya. Pemahaman bacaan bergantung pada gabungan dari segi
pengetahuan bahasa, gaya kognitif, dan pengalaman membaca.
Sumber :
Carian Google
Langgan:
Catatan (Atom)