e-contoh rujukan pelbagai maklumat

Paparan maklumat atas talian tidak semestinya tepat.Rujukan bersumber perlu diteliti dan dimurnikan.

Pelbagai Rujukan Maklumat

Memaparkan kepelbagaian rujukan.e-contoh perkongsian sumber carian atas talian.

Contoh Rujukan Masa Kini

Blog memaparkan contoh rujukan.Maklumat yang dipapar adalah hasil carian google.

Contoh Rujukan Pelbagai Maklumat

Himpunan maklumat carian atas talian.Rujukan pelbagai bidang.

Teknologi memudahkan carian maklumat

Segala maklumat dapat diperolehi.Kesahihan maklumat perlu diteliti.

Genesis Mining - Easy Mining

Isnin, 23 April 2018

CONTOH RUJUKAN PANTUN


1.0       Pengenalan

Di Nusantara, pantun wujud dalam 39 dialek Melayu dan 25 bukan dialek. Pantun juga didapati turut berkembang di selatan Burma,Kepulauan Cocos, Sri Lanka, Kemboja, Vietnam serta Afrika Selatan(kerana pengaruh imigran dari Indonesia dan Malaysia).Pantun di Malaysia dan Indonesia telah ditulis sekitar empat abad lalu. Malah, ia mungkin berusia lebih tua daripada itu seperti tertulis dalam Hikayat Raja-Raja Pasai dan Sejarah Melayu. Menyedari kepentingan pantun dalam memartabatkan budaya Melayu, Jabatan Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negara di Kementerian.Pantun juga turut mempunyai kedudukan yang istimewa dalam pertumbuhan serta perkembangan puisi Melayu lama. Pantun sebagai jenis puisi Melayu lama yang tertua dan asli amat diminati. Ini terbukti, pantun digunakan secara meluas dalam kegiatan-kegiatan harian dan seni budaya masyarakat Melayu lama, seperti dalam acara permainan, hiburan, majlis keramaian, adat istiadat atau upacara.

            Za'ba dalam bukunya Ilmu Mengarang Melayu menjelaskan, "Perkataan pantun itu pada mulanya dipakai orang dengan makna seperti atau umpama." Ada pendapat mengatakan perkataan pantun adalah daripada bahasa Minangkabau iaitu panuntun yang bermaksud pembimbing atau penasihat yang berasaskan sastera lisan dalam pengucapan pepatah dan petitih yang popular dalam masyarakat tersebut.Sehingga hari ini, pantun sering digunakan dalam upacara peminangan dan perkahwinan atau sebagai pembuka atau penutup bicara dalam majlis-majlis rasmi. Bilangan baris dalam setiap rangkap pantun dikenali sebagai kerat.  Lima bentuk utama pantun ialah pantun dua kerat, pantun empat kerat, pantun enam kerat, pantun lapan kerat dan pantun dua belas kerat.  Pantun yang popular digunakan ialah pantun dua kerat dan empat kerat. Setiap pantun mesti mempunyai pembayang dan maksud pantun.  Pembayang dalam setiap rangkap adalah separuh pertama daripada keseluruhan jumlah baris dalam rangkap berkenaan. Separuh kedua dalam setiap rangkap pantun pula ialah maksud atau isi pantun.

1.1       Definisi Pantun

 Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, pantun mengandungi tiga pengertian seperti berikut : 
a.       Maksud pertama merujuk kepada sejenis puisi lama yang biasanya terdiri daripada empat baris dalam tiap-tiap rangkap iaitu dua baris pertama merupakan pembayang maksud dan yang selainnya mengandungi maksudnya.
b.      Maksud kedua merujuk kepada sejenis peribahasa yang digunakan sebagai sindiran. 
c.       Maksud ketiga merujuk kepada sebagai jawapan kepada tuduhan dan lain-lain.  
 sumber : Dewan Bahasa Dan Pustaka

            Harun Mat Piah (1989), telah memberikan definisi pantun berdasarkan aspek dalaman dan aspek luaran atau struktur visualnya.Aspek dalaman pantun meliputi unsur estetik dan isi (tema dan persoalan).Unsur estetik pantun dapat dilihat berdasarkan dua aspek.Pertama, yang berkaitan dengan penggunaan lambing-lambang tertentu yang terdapat dalam pantun mengikut tanggapan dan pandangan dunia masyarakat Melayu.Kedua, berdasarkan hubungan makna antara pasangan pembayang-pembayang dengan pasangan maksud sama ada secara konkrit atau abstrak.

                 Berdasarkan aspek isi (tema dan persoalan), pantun biasanya menyentuh hampir seluruh kehidupan masyarakat Melayu.Selain itu dalam memberi pengertian pantun, beberapa pengertian telah dikemukakan oleh Za’ba, Drs. Liaw Yook Fang dan Drs. Ghaali Dunia. Menurut Za’ba, ‘pantun itulah kaedah rangkapan yang tertua dan memang asal kepunyaan Melayu betul.Semenjak Orang Melayu belum tahu surat-menyurat dahulu pun mereka telah pandai berpantun dan biasa berbalas-balas pantun sesama sendiri.
  
1.2       Ciri-Ciri Pantun

Antara ciri-ciri lain yang ada dalam sebuah pantun ialah pembayangnya mempunyai hubungan yang rapat dengan alam dan persekitaran yang rapat dengan pengucapnya seperti yang terdapat dalam contoh pantun dua kerat berikut:

Sebab pulut santan terasa,
        Sebab mulut badan binasa. 

Rima pantun yang baik berakhir dengan ab,ab bagi pantun empat kerat dan a,a bagi pantun dua kerat. Selain daripada pembayang, maksud dan rima, pantun juga terikat dengan hukum suku katanya. Bagi pantun Melayu, suku kata untuk setiap baris ialah antara lapan hingga dua belas suku kata sahaja. Melalui bentuknya yang kemas dan padat, pantun berjaya menjadi alat yang penting untuk menghibur, memberi nasihat, menduga akal, meluahkan perasaan dan menyedapkan cakap. Pantun turut berfungsi sebagai media untuk menyampaikan hasrat yang seni atau rahsia yang tersembunyi melalui penyampaian yang berkias.

1.2.1    Pembayang

Pembayang terletak pada bahagian setengah pertama setiap rangkap pantun. Pembayang memainkan peranan untuk memberi persamaan bunyi/rima kepada maksud. Pembayang pada baris pertama hendaklah ada hubung kait dengan pembayang pada baris berikutnya dalam setiap rangkap pantun.

1.2.2    Maksud atau isi

Maksud atau isi terdapat dalam setengah bahagian kedua dalam setiap rangkap pantun. Pada bahagian inilah tersurat dan tersiratnya apa yang hendak disampaikan dalam pantun tersebut(tema).


1.2.3    Perkataan

Pantun biasanya mengandungi empat atau tiga patah perkataan pada tiap-tiap baris. Pantun yang baik memaparkan bilangan perkataan pada tiap-tiap baris yang sama bilangannya.

1.2.4    Suku kata

Tiap-tiap patah perkataan terdiri daripada tiga atau empat suku kata. Dalam tiap-tiap baris pula hendaklah mengandungi antara lapan hingga dua belas suku kata. Pantun yang baik mengandungi jumlah suku kata yang sama banyak.

1.2.5    Rima atau bunyi

Rima ialah bunyi yang sama pada bahagian tengah atau akhir pada tiap-tiap baris pantun.  Rima yang baik mempunyai bunyi yang sama dalam setiap rangkap pantun.  Rima pada baris pertama pembayang mestilah sama dengan rima baris pertama maksud dan begitulah seterusnya Rima pantun yang terbaik ialah a,b,a,b dan ada juga berima a,a,a,a. Pantun di bawah mengandungi 4 patah perkataan dan 9 suku kata setiap baris.Contoh pantun yang baik :

Ba/ik/ ber/galas/ ba/ik/ ti/dak/,
 Bu/li/-bu/li/ ber/ta/li/ be/nang/,
 Ba/ik/ ber/ba/tas/ ba/ik/ ti/dak/,
 A/sal/ bu/di/ sa/ma/ di/ke/nang/.

 1.3       Jenis-Jenis Pantun



Pantun terdiri dari pelbagai jenis. Jenis-jenisnya ialah pantun dua kerat (baris), pantun empat kerat, pantun enam kerat, pantun lapan kerat dan pantun sepuluh kerat. Pantun yang lebih daripada empat kerat juga dikenali sebagai talibun. Selain lima jenis bentuk ini, terdapat sejenis bentuk lagi yang dinamakan pantun berkait. Bentuk-bentuk pantun pula bermacam-macam. Ada pantun yang berbentuk "nasihat", "adat", "agama", "teka-teki", "jenaka" dan juga ada sesetengahnya berbentuk "peribahasa".

 
           Jenis-jenis yang dikenali dan yang penting ialah seperti teka-teki, jenaka, kasih sayang, nasihat, budi, nasib, perantau, adat, kepahlawanan, peribahasa, kias ibarat dan agama. Meskipun begitu, penentuan jenis-jenis isi atau tema tersebut bukanlah mutlak. Ini kerana dalam setiap jenis isi pantun itu, lazimnya terdapat juga isi atau persoalan lain. Penentuannya lebih dilihat pada isi yang menjadi latar dan dasar perkembangannya dengan isi atau persoalan lain yang berhubungan. Pantun yang isinya mengemukakan tentang "nasihat", "adat" dan "agama" pada umumnya adalah mudah dikenali serta difahami.


1.3.1    Pantun Nasihat

Pantun "nasihat" lebih jelas bersifat mengajar atau memberi nasihat ke arah melakukan sesuatu yang baik dan meninggalkan yang buruk.Walaupun demikian, isi tentang "adat" dan"agama" tidak kurang pula yang lebih serius serta mendalam persoalan isinya. Umapamanya, persoalan adat yang berkaitan dengan norma-norma adat, peraturan atau undang-undang dan persoalan agama yang berkaitan dengan Keesaan Allah dan balasan hari kemudian.

1.3.2    Peribahasa

Pantun jenis "peribahasa" juga mudah dikenali, iaitu melalui penyampaian isinya menggunakan peribahasa-peribahasa yang begitu jelas bentuk serta susunannya. Bagi pantun "kias dan ibarat" pula, sesuai dengan namanya maka setiap isi yang disampaikan atau dikemukakan itu adalah bersifat kiasan, ibarat atau perbandingan. Dengan demikian, pernyataan isinya selalu ditemui dalam bentuk peribahasa; tetapi gambaran pernyataannya lebih halus, luas dan mendalam.

1.3.3    Pantun Teka-Teki

Pantun "teka-teki" yang memerlukan jawaban adalah merupakan satu daripada alat untuk menggerakkan cara berfikir secara spontan dam membina kemahiran berfikir dengan tepat.

1.3.4    Pantun Jenaka

Pantun "jenaka" yang unsur kejenakaan atau kelucuannya terhasil daripada gambaran keanehan dan keganjilan perlakuan itu, terdapat unsur-unsur pengajaran, nasihat dan sindirannya di dalamnya.Di bawah adalah contoh bentuk dan jenis-jenisnya:




Dilihat Dari Bentuknya

Pantun Biasa

Contoh :
Malam hari main kulintang
Ditemani sobat tersayang
Bagaimana hati tidak bimbang
Kepala botak minta dikepang

Pantun Seloka (pantun berkait)
Seloka ialah pantun berkait yang tidak cukup dengan satu bait saja, karena pantun berkait merupakan jalinan atas beberapa bait.
Ciri-ciri seloka :
Baris kedua dan keempat pada bait pertama dipakai sebagai baris pertama dan ketiga di bait kedua.
Baris kedua dan keempat pada bait kedua dipakai sebagai baris pertama dan ketiga di bait ketiga.
Dan seterusnya.

1.3.5    Talibun

Talibun adalah pantun yang jumlah barisnya lebih dari 4 baris dan satu bait pantun talibun harus genap tiap barisnya, misalnya 6, 8, 10 dan seterusnya. 

Dengan catatan :
JIka satu bait berisi 6 baris, maka 3 baris pertama ialah sampiran dan 3 baris sisanya ialah isi. Sedangkan untuk sajaknya menjadi a-b-c-a-b-c.

Jika satu bait berisi 8 baris, maka 4 baris pertama ialah sampiran dan 4 baris sisanya ialah isi. Sedangkan untuk sajaknya menjadi a-b-c-d-a-b-c-d. Contoh pantun seloka 6 baris:

Kalau anak pergi ke pekan
Yu beli belanak pun beli
Ikan panjang beli dahulu
Kalau anak pergi berjalan
Ibu cari sanak pun cari
Induk semang cari dahulu

Dilihat Dari Isinya
Pantun Orang Muda / Remaja
Contoh:
Naik Motor merknya Honda
Pergi sebentar kerumah Hanapi
Bila cinta mekar di dada
Siang terkenang malam termimpi

Pantun Orang Tua
Contoh:
Supaya tangan tidak terluka
Jangan dikepit hulunya kapak
Supaya Tuhan tidak murka
Jangan sakiti Ibu dan Bapak

Pantun Jenaka
Contoh:
Ikan gabus di rawa-rawa
Ikan sepat nyangkut dijaring
Perut sakit menahan tawa
Melihat gigi palsu loncat ke piring

Pantun Teka-teki
Contoh:
Tuan puteri belajar menari
Diajari oleh pak Harun
Kalau tuan bijak bestari
Apa yang naik tapi tak bisa turun

Isnin, 16 April 2018

SEJARAH PERKEMBANGAN BAHASA MELAYU


1.0       Pengenalan

Zaman penting bagi bahasa Melayu ialah pada zaman Kerajaan Melayu Melaka. Kerajaan Melayu Melaka yang telah menerima Islam dan berjaya membina empayar yang luas telah dapat meningkatkan kemajuan dan perkembangan bahasa Melayu di rantau ini. Bahasa Melayu telah digunakan dalam pentadbiran dan aktiviti perdagangan serta menjadi “lingua franca” para pedagang. Bahasa Melayu juga telah menjadi alat penyebaran agama Islam ke seluruh Kepulauan Melayu. Bahasa Melayu telah mendapat bentuk tulisan baru iaitu tulisan Jawi. Perbendaharaan kata juga telah bertambah dengan wujudnya keperluan untuk mengungkapkan idea-idea yang dibawa oleh peradaban Islam. Keagungan Kesultanan Melaka jelas tergambar di dalam “Sejarah Melayu” oleh Tun Seri Lanang, sebuah karya dalam bahasa Melayu yang sangat tinggi nilainya.

Kedatangan orang-orang Eropah dan kejatuhan Kesultanan Melaka ke tangan Portugis pada tahun 1511 masihi tidak menamatkan pengaruh bahasa Melayu. Bahasa boleh diertikan sebagai satu sistem bunyi yang terdiri daripada alat-alat artikulasi yang ada pada mereka. Lambang-lambang yang diujarkan itu mempunyai makna-makna tertentu berdasarkan lingkungan masyarakat yang menuturkannya.Dalam setiap kegiatan manusia, bahasa memainkan peranan dan fungsi untuk memenuhi pelbagai tujuan dan matlamat tertentu. Antara fungsi bahasa yang amat ketara ialah peranannya sebagai alat untuk membantu manusia menyampaikan percakapan, buah fikiran dan maklumat kepada orang lain. Bloch dan Trager (1942), mendefinisikan bahasa sebagai sistem lambang-lambang vokal yang digunakan oleh manusia untuk berkomunikasi. Proses komunikasi bahasa berlaku apabila adanya penutur dan pendengar.

            Menurut Chomsky (1957). Setiap penutur dan pendengar mempunyai dua perkara penting iaitu kecekapan bahasa dan pengucapan bahasa. Kecekapan bahasa berada dalam otak manusia dan ia diertikan sebagai satu sistem rumus bahasa yang mampu menghasilkan kalimat yang tidak terbatas banyaknya.Dari segi pragmatik, ahli-ahli linguistik bersetuju bahawa bahasa merupakan satu sistem yang menghubungkan maksud kepada bunyi, sama ada berdasarkan aksi penutur atau pendengar.

Dengan andaian bahawa manusia mempunyai beberapa makna yang hendak disampaikan, dia mengucapkan bunyi-bunyi dengan tepat. Orang yang mendengar bunyi-bunyi tersebut akan cuba memberikan makna kepada ujaran yang dilafazkan oleh penutur. Menurut Amat Juhari Moain (2006:27) ,terdapat 5 zaman perkembangan bahasa Melayu.Ini membuktikan bahawa bahasa Melayu tersebar dan berkembang secara bertahap –tahap iaitu dari zaman ke zaman.Lima zaman tersebut ialah zaman bahasa Melayu Purba, Melayu Kuno, Melayu Klasik, Melayu Pramoden dan Melayu Moden. Secara ringkasnya, berdasarkan pengklasifikasi zaman-zaman perkembangan telah membuktikan bahawa bahasa Melayu berkembang dan mempunyai sejarah penyebarannya.

1.1       Bahasa Melayu Klasik
Doktor Zaitul Azma telah mengatakan bahawa perkembangan bahasa Melayu Klasik mempunyai perkaitan dengan perkembangan karya sastera. Perkembangan kesusasteraan memberikan gambaran tentang sejarah silam sesuatu bangsa dari segi kebudayaan,dan keperibadian bangsa. Terdapat beberapa definisi yang telah diutarakan oleh pengkaji bahasa .Antaranya ialah Asmah Hj.Omar (1985:33), “ bahasa abad ketiga belas dan ketujuh belas itu dinamakan bahasa Melayu Klasik”.
Menurut Ismail Hussein (1984:24),“pembahagian yang dibuat oleh adalah atas pertimbangan sejarah perkembangan bahasa Melayu. Hal ini dapat dibahagikan mengikut zaman politik Srivijaya, Majapahit, Melaka, dan sebagainya, pengaruh kebudayaan seperti Hindu, Islam, dan Barat atau mengikut zaman tulisan yang digunakan seperti tulisan Melayu Kuno yang diambil dari India, tulisan Arab, dan akhir sekali tulisan Latin. Contohnya pada zaman politik Srivijaya, masyarakatnya yang beragama Hindu dan Buddha, menggunakan tulisan yang dibawa dari India, sasteranya dipenuhi oleh cerita-cerita sastera India dan bahasa Melayunya, dengan pinjaman kata-kata Sanskrit.



Dalam masa yang sama bahasa Melayu Klasik digunakan oleh pengarang untuk tujuan menghasilkan sesebuah karya dalam bidang kesusasteraan, ketatanegaraan, kebudayaan, kemasyarakatan dan keagamaan. Seiring dengan kemunculan bahasa Melayu Klasik, pengaruh Hindu dilihat mula hilang sedikit demi sedikit sehinggalah ke abad ke-15. Bahasa Melayu Klasik mula berkembang pada abad ke -13 dan ke -14. Buktinya ialah penemuan beberapa buah prasasti. Ketika itu juga bahasa Melayu Klasik telah digunakan sebagai lingua –franca iaitu zaman kerajaan Melayu Melaka. Penggunaan bahasa Melayu Klasik ini jelas dalam aktiviit perdagangan dan penyebaran agama Islam.
            Bukti tentang penyebaran agama islam menggunakan bahasa Melayu Klasik adalah penghasilan kitab-kitab agama. Antara kitab yang dihasilkan ialah Furu’ Al-Masa’il oleh Syed Muhammad Daud Al-Fatani,dan Sabil Al-Muhtadin oleh Syed Muhammad Arsyad Al-Banjari .Kandungan kitab-kitab ini adalah mengenai agama seperti al- Hadith, feqah, tafsir al-quran, tasawuf, di samping sejarah, hikayat, hal ehwal haiwan, perdukunan, perubatan Melayu, bintang dua belas, pentadbiran dan pemerintahan, falsafah dan pengembaraan. Secara ringkasnya bahasa Melayu Klasik meluas dalam kalangan orang bukan Melayu dari kelompok Asia, juga dalam kelompok orang Eropah dan Asia Barat yang datang ke Asia Tenggara.
1.2       Bahasa Melayu Moden
Menurut Amat Juhari (2006 : 32), bahasa Melayu Pramoden bermula pada abad ke -19. Buktinya ialah kedatangan pendatang luar ke Asia Tenggara untuk menguasai Asia Tenggara.Pendatang bangsa barat ini bukan sahaja menguasai ekonomi, tetapi politik. Bagi mengukuhkan kedudukan di tanah Melayu, mereka telah mengkaji bahasa dan budaya pribumi. Hasil kajian ini telah mewujudkan pusat-pusat pengajian tentang bahasa, sastera dan budaya pribumi terutama Melayu. Manuskrip-manuskrip Melayu dan bahan-bahan tinggalan sejarah,budaya dan sastera Melayu telah dikumpulkan di perpustakaan- perpustakaan barat ini. Dalam masa yang sama,perkataan-perkataan daripada bahasa barat seperti Inggeris dan Belanda mula meresap ke dalam bahasa Melayu.


Proses ini berlaku secara sedikit demi sedikit. Kesan penyerapan bahasa ini telah mengakibatkan kegiatan penulisan Melayu mula menggusur dari istana-istana raja seperti dalam zaman bahasa melayu Klasik ke dalam masyarakat umum.Dengan kata lain, kegiatan penulisan dalam bahasa Melayu sudah mula memasyarakat dan merakyat. Zaman bahasa Melayu Pramoden ini juga, terdapat banyak hasil penulisan seperti buku “Sejarah Melayu, Taj al- Salatin, Hikayat Abdullah dan lain-lain.Selain itu, zaman ini turut mencetak banyak kitab –kitab agama di Asia Tenggara. Abdul Rashid Melebek (2006) juga mengatakan bahawa berlakunya beberapa peristiwa pada abad ke-19.Antaranya ialah pertembungan budaya Melayu dengan Barat, perkembangan teknologi cetak,serta perkembangan perhubungan yang lebih mudah telah menjadikan bahasa Melayu terdedah kepada pengaruh Barat. Oleh yang demikian,perkembangan ini bagaikan satu era yang menyebabkan bahasa Melayu diresapi oleh unsur-unsur Barat sehingga berlaku beberapa perubahan pada Bahasa Melayu.
1.3       Perbezaan Bahasa Melayu Klasik dan Moden
Perbezaan Bahasa Melayu Klasik dan Bahasa Melayu Moden dapat diperjelaskan melalui ciri-ciri berikut :-
a.                  Bahasa Melayu Klasik menggunakan tulisan jawi pinjaman dari bahasa Arab, manakala Bahasa Melayu Moden melalui perancangan bahasa.
b.                  Bahasa Melayu Klasik menerima fonem  dari beberapa fonem Arab, manakala Bahasa Melayu Moden mengalami proses pembinaan bahasa.
c.                  Bahasa Melayu Klasik menerima pelbagai kosa kata Arab dan Parsi, manakala Bahasa Melayu Moden menerima dan menyesuaikan dengan struktur bahasa Inggeris.
d.                 Bahasa Melayu Klasik terdiri daripada pengaruh kesusasteraan Islam khasnya dari Arab dan Parsi, manakala Bahasa Melayu Moden mempunyai laras bahasa yang bervariasi.
e.                  Bahasa Melayu Klasik lebih banyak menggunakan binaan ayat pasif, manakala Bahasa Melayu Moden lebih banyak menggunakan binaan ayat aktif.      

1.3.1    Perbezaan Dari Sudut Perkataan (Morfologi)
                       
Dari aspek perkataan atau morfologi, bahasa klasik lebih kepada bahasa bersifatkan bahasa istana dan pengulangan perkataan.
Contoh seperti :
Beta, hamba, patik, hatta, arakian, sebermula secara lebih jelasnya dalam bahasa klasik banyak pengulangan perkataan dilakukan.



Contoh perkataan “maka” diulang berkali-kali. Sementara bagi bahasa Melayu Moden perkataan berkaitan dapat ditukarkan atau tidak digunakan langsung contoh :
Raja pun berasa suka cita mendengar Hang Jebat membaca hikayat itu.

Bahasa Klasik yang banyak menggunakan  perkataan dan sistem panggilan menggunakan bahasa istana seperti baginda, tuan puteri, dan putera.  Ini mungkin disebabkan kebanyakan hasil penulisan Bahasa Melayu Klasik adalah dalam bentuk karya sastera yang menceritakan kisah dan peristiwa yang dialami oleh kalangan raja. Amat berbeza dengan bahasa moden yang lebih banyak dipengaruhi perubahan dalam evolusi penambahan perkataan baru.
  
Penggunaan kata hubung “dan” digunakan untuk menggabungkan beberapa ayat menjadi satu ayat.Ayat-ayat yang ditulis dalam Bahasa Melayu Klasik panjang, berbelit-belit dan berulang-ulang dengan menggunakan kata hubung ‘dan’.Contoh;

Bagaimana kamu sekalian telah berbuat bakti akan daku dan engkau mengasihi aku, demikianlah kepadanya, Hubayahubaya jangan engkau lainkan aku dengan dia; barang siapa melalui daripada  amanatku ini, durhakalah ia kepada aku; dan jika barang suatu hendak dikerjakan, sekali-kali jangan engkau lalui hukum Allah taala, dan takuti olehmu akan Allah subhanahu wataala sangat-sangat."

Ayat di atas boleh dipecahkan kepada tiga ayat yang lebih ringkas dan padat dengan menggugurkan kata hubung ‘dan’.  Begitu juga dengan tanda koma dan koma bertindih, boleh dihadkan penggunaannya.

1.3.2    Perbezaan Dari Sudut Ayat (Sintaksis)

Susunan biasa sesuatu ayat bahasa melayu dalam bahasa moden ialah subjek diikuti oleh predikat. Namun dalam bahasa klasik susunan sebaliknya yang lebih diaplikasikan iaitu mendepankan predikatnya sama ada secara keseluruhan atau sebahagiannya. Contoh :


             Dalam bahasa Melayu klasik, sebahagian besar ayat terbina daripada deretan ayat tunggal yang terdiri daripada berbagai-bagai jenis keterangan. Contoh :



            Manakala dari sudut sifat perbendaharaan kata bahasa melayu klasik dan bahasa melayu moden perbezaan dapat dilihat melalui perbezaan pengaruh bahasa asing yang berlainan seperti bahasa arab dan bahasa Sanskrit. Contoh :


1.3.3    Perbezaan Struktur Ayat

Melalui struktur ayat kita dapat melihat bahawa bahasa klasik lebih memperlihatkan struktur ayat berbentuk pasif sementara bahasa melayu moden lebih kepada ayat aktif. Secara jelasnya bahasa klasik lebih mengutamakan objek pelaku atau objek sementara dalam bahasa moden ia menekankan pelaku.Contoh struktur ayat;  
Adapun akan raja itu ada berputra seorang laki-laki terlalu amat baik parasnya; maka dinamai oleh baginda akan anakanda itu raja Johan Rasyid
‘berputera’                 ditambah imbuhan akhir         ‘berputerakan’
‘dinamai’                    digantikan dengan                   ‘dinamakan’
Selain dari itu perkataan berimbuhan berikut  juga perlu diperbetulkan.  Contohnya;
‘bertunggulah’           diganti dengan                                    ‘menunggu’
            ‘mengobatkan’          diganti dengan                                    ‘mengubat’

1.3.4    Perbezaan Dari Sudut Penggunaan Imbuhan

Dalam Bahasa Melayu Klasik terdapat perbezaan penggunaan perkataan  berimbuhan seperti contoh dalam ayat berikut;

“……Maka muafakatlah Raja Muda dengan segala anak raja akan persembah nobal serta hendak mengatur adat seperti dahulu kala.”


Dalam Bahasa Melayu Moden perkataan berimbuhan persembah tidak sesuai dalam  struktur ayat tersebut.Perkataan mempersembahkan amat sesuai bagi perkataan tersebut, manakala perkataan mengatur digugurkan digantikan pula dengan mengaturkan.Penggunaan imbuhan mem….kan untuk perkataan mempersembahkan dalam struktur ayat tersebut juga akan memperlihatkan susunan struktur ayat yang sesuai mengikut struktur ayat Bahasa Melayu Moden, perkataan mengaturkan bagi menggantikan perkataan mengatur.  Ayat yang lebih tepat adalah seperti berikut;

“maka bermuafakatlah Raja Muda dengan anak raja untuk mempersembahkan serta mengaturkan adat seperti terdahulu.”

1.3.5    Perbezaan Pengaruh Bahasa Asing

Bahasa Melayu Klasik banyak dipengaruhi oleh unsur-unsur Bahasa Arab, cerita dalam Hikayat Inderaputera banyak mengandungi perkataan-perkataan berunsurkan Bahasa Arab seperti, takdir Allah sabhanahu wataala, bijaksana, dan gering.Selain dari itu, penggunaan  perkataan dan sistem panggilan menggunakan bahasa istana seperti baginda, tuan puteri, dan putera.Ini mungkin disebabkan kebanyakan hasil penulisan Bahasa Melayu Klasik adalah dalam bentuk karya sastera yang menceritakan kisah dan peristiwa yang dialami oleh kalangan raja. Dari sudut tatabahasa pula, berlaku pertindihan  penggunaan Kata Penguat untuk sesuatu Kata Adjektif  yang digunakan ayat di bawah  Contoh:

Adapun akan raja itu ada berputra seorang laki-laki terlalu amat baik parasnya”Penggunaan perkataan terlalu  sudah memadai untuk ayat tersebut seperti berikut;
“Raja itu mempunyai seorang putera yang terlalu baik.”


1.4       Rumusan

Berdasarkan huraian di atas jelaslah bahawa bahasa Melayu Klasik mempunyai sejarahnya yang tersendiri dan bahasa ini telah mendapat perhatian utama sarjana-sarjana Eropah dalam usaha untuk menyusun kamus dan daftar kata.Usaha ini merupakan usaha yang tertua dalam bidang penyelidikan terhadap bahasa dan dikembangkan dalam bidng-bidang lain seperti morfologi, sintaksis dan fanologi.Kedudukan bahasa Melayu semakin unggul semasa zaman Kerajaan Melayu Melaka.Pada zaman inilah pelbagai kosa kata telah diambil khususnya dari barat seperti Arab, Portugis,Belanda dan Inggeris untuk diasimilasikan dengan situasi tempatan.  Ini secara tidak langsung telah menambah kosa kata termasuk juga hasil-hasil kesusasteraan Melayu.Selain itu bahasa Melayu Klasik juga digunakan sebagai  “linguafranca”, juga sebagai bahasa kesusasteraan, kebudayaan, bahasa rasmi di istana dan bahasa untuk menyebarkan agama  Islam.Tegasnya bahasa Melayu Klasik pada masa itu berperanan sebagai bahasa “intelektual” yang akhirnya dikembangkan melalui era pemodenan bahasa melayu.

Kemuncak kegiatan alam persuratan Melayu melalui bahasa Melayu dan tulisan Jawi adalah di Penyengat, sebuah pulau di Kepulauan Riau yang menjadi sebahagian daripada Kerajaan Johor-Riau. Di sinilah dari abad ke 19 hingga awal abad ke 20, tertumpunya kegiatan keintelektualan Melayu-Islam dan perkembangan bahasa Melayu selanjutnya.Banyak karya serta kitab diterbitkan di pulau ini, seperti kitab “Al-Hakim” oleh Tajuddin Abdul Fadzil Ahmad ibn Abdul Karim (1863 M) dan “Sabil Al-Hidayat” oleh Sayyed Aluwi Ba’aluwi (1899 M) Hasil penulisan yang terkenal dan terpenting dalam dunia persuratan Melayu ialah karya Raja Ali Haji, iaitu “Bustan Al-Katibin” (1857 M), “Pengetahuan Bahasa” (1859 M), “Salasilah Melayu dan Bugis” (1865 M) dan “Tuhfat Al-Nafis” (1865 M). Pada masa itu juga di Johor terdapat beberapa hasil penulisan seperti “Hikayat Negeri Johor” dan “Kitab Pemimpin Johor”.

            Kerajaan Melayu Johor-Riau terus menjadi pusat pengembangan bahasa Melayu sehingga ia menjadi bahasa persatuan di seluruh Nusantara. Sebelum Inggeris bertapak di Semenanjung Tanah Melayu, bahasa Melayu menjadi satu-satunya bahasa perantaraan bagi penduduk negara ini. Bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa pentadbiran di semua pusat pemerintahan dan menjadi bahasa pengantar di institusi pendidikan yang ada pada ketika itu seperti pusat pengajian Islam dan kelas agama. Perhubungan antara rakyat juga menggunakan bahasa Melayu, termasuk di pusat-pusat perniagaan seperti Melaka, Pulau Pinang dan Singapura yang sebahagian besar penduduknya terdiri daripada orang Melayu.

Pada zaman penjajahan Inggeris di Tanah Melayu, khususnya ketika sebelum berlaku Perang Dunia Kedua, bahasa Melayu terus digunakan untuk tujuan urusan rasmi di Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dan Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu. Pegawai-pegawai Inggeris yang bertugas di Negeri-Negeri Melayu sebelum Perang Dunia Kedua dikehendaki mempelajari bahasa Melayu dan mesti lulus dalam peperiksaan bahasa Melayu sebelum disahkan dalam jawatan.Sebahagian daripada pegawai-pegawai itu terus menaruh minat yang tinggi terhadap Bahasa Melayu, sehingga dikenali sebagai sarjana bahasa Melayu. Antaranya ialah R.O. Winstedt, J.R. Wilkinson, C.C. Brown, W.E. Maxwell, W. Marsden, W.G. Shellabear dan J. Crawford.

Hanya selepas Perang Dunia Kedua kedudukan serta peranan bahasa Melayu mula terancam. Pegawai-pegawai Inggeris baru yang jahil terhadap bahasa Melayu membawa tekanan kepada kehidupan rakyat di negara ini, menerusi nilai-nilai baru yang diperkenalkan. Orang-orang Inggeris menjadi “tuan” dan segala yang bersangkutan dengan cara hidup mereka diberi nilaian yang tinggi termasuk bahasa mereka.Ini diperkukuhkan dengan dasar menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar dalam sistem persekolahan. Dalam keadaan bahasa Melayu menerima tekanan, kesusasteraan Melayu terus dihasilkan, bukan oleh cendiakawan berpendidikan barat tetapi cerdik pandai lulusan sekolah Melayu atau Arab.
  
Kemerosotan bahasa Melayu tidak berterusan. Pada awal abad ke-20, semangat kebangsaan bergema dan orang-orang Melayu mula mengorak langkah untuk memperjuangkan bahasa ibunda mereka. Wartawan, sasterawan, budayawan, guru-guru Melayu dan ahli-ahli politik berganding bahu memperjuangkan cita-cita ini. Akhbar dan majalah menjadi saluran utama untuk menyuarakan hasrat ini. Perjuangan bahasa Melayu digerakkan serentak dengan perjuangan politik membebaskan tanah air daripada penjajahan.

Akhirnya kejayaan tercapai dengan termaktubnya Artikel 152 dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu, yang menyebut bahawa “Bahasa Kebangsaan negara ini adalah bahasa Melayu dan hendaklah ditulis dalam apa-apa tulisan sebagaimana yang diperuntukan dengan undang-undang Parlimen”. Dengan perakuan ini, maka bermulalah era baru bagi bahasa Melayu, satu bahasa yang pernah menjadi lingua franca bagi seluruh Kepulauan Melayu.

Rujukan

Asmah Hj.Omar. (1993). Susur galur bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa      dan  Pustaka

Ismail Hussein. (1966). Sejarah pertumbuhan bahasa kebangsaan kita. Kuala Lumpur: Dewan  Bahasa dan Pustaka

Kamus Dewan. (1986). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Nik Safiah Karim, Faris M Onn, Hashim Hj. Musa, Abdul Hamid Mahmood. (2006).
Tatabahasa Dewan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Raminah Hj Sabran. (1984). Kajian bahasa untuk pelatih maktab perguruan. Petaling     Jaya      Selangor : Fajar Bakti.

W.G Shellabear.(1981). Sejarah Melayu. Petaling Jaya Selangor : Fajar Bakti.






Ahad, 15 April 2018

AMALAN KBAT

1.0       Pengenalan

KBAT merupakan proses yang melibatkan kemahiran berfikir yang tinggi. Kemahiran ini kebiasaan merujuk kepada empat elemen aras teratas dalam Taksonomi  Bloom  iaitu mengaplikasi, menganalisa, menilai dan mencipta.


1.1       Konsep Dan Teori KBAT

KBAT mengaplikasikan  gabungan pemikiran secara asas kolektif iaitu kritikal, pemikiran kreatif, pemikiran logikal, pemikiran reflektif dan meta kognitif. Jelasnya  murid atau pelajar  mencerap sesuatu data dan maklumat kemudian diproses  melalui peikiran minda  dan akhirnya dizahirkan semula dalam pelbagai bentuk sama ada secara bertulis atau secara lisan. Kemahiran berfikir ini juga dikenali sebagai berfikir secara kritis dan kreatif. Dengan mengamalkan cara dan menggunakan kemahiran ini murid atau pelajar  bebas untuk membanding, membeza, menyusun atur, mengelas dan mengenal pasti sebab dan akibat mengikut pemikiran logik akal pemikiran yang dizahirkan melalui pendapat dan pandangan mereka sendiri berdasarkan pengalaman yang diperolehi melalui proses pembelajaran dan persekitaran mereka.  Sebagai contoh seorang murid diajukan soalan maka murid boleh memberi jawapan dalam pelbagai bentuk, idea baru dan melihat daripada pelbagai  sudut pengetahuan yang mengabungkan elemen bahasa, pengiraan dan sebagainya. Inilah yang dikatakan wujudnya pemikiran berbentuk kreatif, inovatif yang diberikan jawapan oleh mereka cipta melaui pemikiran logik akal dalam kalangan murid atau pelajar tersebut.

1.2       Kelebihan KBAT

Amalan KBAT jika diamalkan secara teratur dan betul akan dapat meningkatkan lagi keupayaan dan kebolehan sedia ada murid.  Mereka  akan dapat menguasai pelajaran dengan lebih baik seterusnya kemahiran dan kebolehan ini akan menjadikan mereka lebih berinovatif,  produktif dan berdaya saing. Seterusnya pastinya mereka dapat meningkatkan kefahaman dan memperkukuh pembelajaran dalam apa juga perkara yang mereka pelajari kelak.

Mereka juga dapat mengaplikasi, menganalisa, mensintesis dan menilai suatu maklumat daripada sekadar menyatakan semula fakta atau hanya mengingati fakta yang telah dipelajari dengan pengembangan idea baharu yang dizahirkan oleh mereka melalui kebebasan berfikir dan mengemukakan pandangan dan pendapat mereka.

1.3       Strategi Aktiviti KBAT

Strategi amat penting bagi membolehkan kita melahirkan murid yang memiliki kemahiran berfikir aras tinggi. Prosedur yang akan membantu untuk memilih pengetahuan dan kemahiran yang digunakan di semua langkah penyelesaian masalah. Strategi yang dipilih harus fleksibel agar dapat digunakan untuk menyelesaikan pelbagai masalah.Satu kesulitan dalam menghadapi pembelajaran abad ke 21 adalah mengajarkan pelajar teknik untuk berfikir secara KBAT. Kemahiran Berfikir Aras Tinggi ini walaupun sebenarnya sudah lama wujud sejak penciptaan Model Taksonomi Bloom, tetapi barulah kini semakin giat dipromosikan sebagai kemahiran berfikir yang juga boleh diajar kepada semua aras pelajar, tanpa perlu lagi melalui KBAR, iaitu Kemahiran Berfikir Aras Rendah.  Berikut adalah contoh yang boleh digunakan untuk aktiviti KBAT :-   

1.3.1    Tingkatkan Soalan Aras Tinggi

Bagi membiasakan pelajar dengan soalan sebegini, maka guru hendaklah sentiasa memberikan soalan berbentuk KBAT. Semakin banyak soalan KBAT, semakin luas tahap pemikiran seseorang pelajar itu.  Antara ciri-ciri Soalan KBAT adalah soalan yang menguji kemahiran berfikir pelajar pada tahap Analisa, Sintesis dan juga Penilaian. Soalan-soalan berbentuk 'Wajarkan', 'Cadangkan', 'Ramalkan' adalah antara beberapa kata tugas yang memerlukan pelajar menguasai KBAT. Maka dengan membanyakkan  soalan-soalan yang sedemikian akan meningkatkan proses KBAT.

1.3.2    Mempelbagaikan Aktiviti Penyelesaian Masalah

Bagi menggalakkan juga pelajar berfikir secara KBAT, maka guru bolehlah memperbanyakkan lagi aktiviti yang melibatkan penyelesaian masalah. Dalam situasi baru yang diberi, pelajar perlu lah menggunakan kemahiran menganalisa, mensintesis dan juga menilai apakah konsep yang bersesuaian dan boleh digunapakai bagi menyelesaikan masalah tersebut.

Objektif dalam menyelesaikan masalah juga haruslah diterapkan iaitu bagi membolehkan kita membuat penyelesaian yang terbaik, meneroka dan mempertimbangkan pelbagai pilihan dengan sebanyak mungkin, dan membolehkan kita bertindak atas keputusan yang telah diambil kira semua faktor serta kesan akibatnya.

Secara ringkas, langkah-langkah menyelesaikan masalah adalah bermula dengan menyedari apakah permasalahan, memahami masalah, meneroka pilihan-pilihan penyelesaian, meninjau kesan akibat daripada pilihan-pilihan dan juga memilih pilihan terbaik sebagai penyelesaian.






1.3.3    Teknik Menyoal

Teknik menyoal adalah teknik paling lama dan paling popular dalam bidang pendidikan. Pemilihan teknik ini dalam pdp dapat melahirkan interaksi antar guru dan pelajar secara berkesan. Teknik ini dilaksanakan dengan cara guru mengemukakan soalan yang berkaitan dengan isi pelajar dan dan pelajar dikehendaki memberi tindakbalas yang sewajarnya. Kejayaan penggunaan teknik ini dalam pdp bergantung kepada kebolehan guru untuk menguasai teknik menyoal.

            Salah satu perkara penting ketika berkomunikasi adalah aktiviti bertanya dan menyoal. Kemahiran bertanya dan menyoal bukan sekadar untuk mendapatkan sesuatu maklumat, tetapi juga membantu kita membina iklim komunikasi yang positif dan memupuk sikap saling memahami dan bekerjasama. Tujuan Teknik Penyoalan adalah seperti berikut :-
- Melihat keupayaan pelajar memahami sesuatu blok informasi
- Mengalih perhatian pelajar daripada satu fakta kepada fakta yang lain
- Menegaskan kepentingan isi
- Mengarah pelajar ke arah membentuk konsep pemahaman yang tersendiri
- Mengesan pengetahuan berbahasa pelajar
- Mengalakkan pelajar berfikir secara kreatif, inovatid, logik dan juga kritis
- Mendorong pelajar menyusun dan menghuraikan bahan yang diajar

            Walaubagaimanapun, penggunaaan teknik penyoalan adalah untuk mencerna pemikiran. Ini kerana soalan yang dikemukakn untuk menaganalisis, mensintesis dan menilai kemahiran dan menyediakan latihan untuk pelajar berkomunikasi. Prinsip Penyoalan yang betul bagi membantu untuk mengasah pemikiran kreatif dalam kalangan pelajar boleh digunakan.  Prinsip Panduan Penyoalan adalah seperti berikut :-
- Soalah hendaklah dirancang
- Soalan bersesuaian dengan peringkat kebolehan pelajar
- Aras soalan tidak terlalu senang dan tidak terlalu sukar
- Beri peluang kepada pelajar untuk berfikir mengenai jawapan
- Kemukakan soalan kepada keseluruhan kelas
- Elakkan daripada mengemukakan soalan kepada murid tertentu sahaja
- Kemukakan soalan terlebih dahulu sebelum menentukan nama murid
- Bentuk soalan perlu diubah-ubah untuk menarik perhatian murid
- Soalan dapat didengar dengan jelas oleh pelajar seluruh kelas
- Soalan haruslah mampu mendorong pelajar untuk berfikir
- Elakkan soalan yang mengandungi jawapan di dalamnya
- Soalan hendaklah ringkas dan juga jelas

1.3.4    Buku Teks

Pada dasarnya buku teks yang disediakan telah lama mengandungi aktiviti yang boleh merangsang pemikiran aras tinggi. kandungan dalam buku teks serta aktiviti yang disediakan bagi pembelajaran tertentu menyediakan persoalan dan maklumat yang boleh membantu meningkatkan KBat. Oleh yang demikian aktiviti yang terdapat dalam buku teks boleh digunakan bagi membentuk pelajar yang mahir dalam menggunakan KBAT.

1.3.5    Pembelajaran Berasaskan Projek

Pembelajaran berasaskan projek merupakan aktiviti yang dapat mengembangkan potensi kreativiti pelajar dan boleh menggalakkan pelajar untuk berfikir secara KBAT dengan memperbanyakkan aktiviti pembelajaran yang berasaskan projek, project-based learning (PBL). Pembelajaran berasakan projek merupakan pelaksanaan program atau aktiviti dalam jangka panjang. Proses pembelajaran ini memerlukan pelajar bekerjasama dalam pengumpulan maklumat dan bahan, sebagai contoh menyediakan soalan berkaitan projek dan mengimpelementasikan penyelidikan dengan mengumpulkan data, menganalisis data dan menghasilkan laporan samada secara lisan atau pun bertulis.

            Dengan ini pelajar-pelajar dapat didedahkan dengan proses kemahiran berfikir dalam menyelesaikan tugasan yang diberikan. Maka pelajar perlu dilibatkan dalam proses pengajaran yang aktif dan menyeronokkan seperti kaedah projek. Pelaksanaan STEM juga mampu menjadi pemangkin kepada pembelajaran berasaskan projek.

1.3.6    Menggunakan Alat Berfikir

Strategi terakhir dalam mengajar pelajar untuk berfikir secara KBAT adalah dengan menggunakan alat berfikir. Alat berfikir mampu membantu pelajar menggunakan minda dengan lebih bijak dan berkeesan. Pemikiran menjadi lebih tersusun, luas, jelas dan tidak terburu-buru dalam melakukan sesuatu.Ini adalah antara alat-alat berfikir yang boleh digunakan untuk meningkatkan ketrampilan dalam berfikir, iaitu:
- Soalan dan penyoalan
- Peta Minda
- Pengurusan Grafik
- CoRT
- i-Think

            Alat pengurusan grafik juga dikenali sebagai peta pengetahuan, peta konsep, peta cerita dan alat pengurusan kognitif. Alat komunikasi yang menggunakan simbol untuk menggambarkan pengetahuan, konsep, pemikiran, idea-idea dan juga hubungan antara mereka. Tujuan utama pengurusan grafik adalah untuk menyediakan bantuan visual bagi membantu pelajar berfikir.

            Alat CoRT (Cognitive Research Trust) merupakan instrumen kognitif dalam bentuk garis panduan yang digunakan untuk meningkatakn kualiti pemikiran seseorang. Penggunaan alat ini dapat memandu pelajar untuk membuat keputusan dengan mengambil kira pelbagai faktor, menyelesaikan masalah, meluaskan pandangan terhadap sesuatu isu, meneliti kesan terhadap suatu tindaka, meneroka kepentingan apabila diberi pelbagai pilihan serta melihat sesuatu dari pelbagai sudut pandangan.



1.4       Contoh Aktiviti KBAT Model Assure

Model Assure merupakan satu modul pengajaran dan pembelajaran yang mempunyai ciri-ciri yang digubal oleh Heinich dan rakan-rakannya dan ia bertujuan untuk menyediakan satu panduan merancang dan mengendalikan pengajaran yang memerlukan penggunaan media. Ia berfokus kepada perancangan pengajaran dalam situasi bilik darjah dan bukan merangkumi satu skop rancangan pengajaran yang luas. Oleh itu, ia ditujukan kepada setiap pengajar dengan skop penggunaan dalam bilik darjah. Model ini telah mengalami perubahan dan yang terbaru ialah pada tahun 2002. Dalam tugasan ini, perbincangan adalah berasaskan model ASSURE yang terkini yang mengandungi enam langkah utama iaitu :

1
A - Analisis pelajar
2
S  - Nyatakan Objektif
3
S  - Pilih kaedah, media dan bahan
4
U - Gunakan media dan bahan
5
R - Dorong penglibatan pelajar
6
E - Nilai dan semak

Perkembangan pendidikan di negara ini sentiasa dibayangi dengan kewujudan teknologi baru untuk meningkatkan proses pengajaran dan pembelajaran dan sebagai pendidik kita perlu mengikuti arus perkembangan ini agar kita tidak mengalami kegagalan dalam membentuk generasi masa hadapan.

1.4.1    Definisi Model Assure

Modul Assure adalah Model Rancangan Pengajaran berorientasikan bilik darjah merupakan model Rancangan Pengajaran berskala kecil yang tertumpu kepada perancangan bagi satu masa pengajaran. Assure merupkan akronim kepada 6 langkah dalam model ini iaitu analisis murid, pernyataan objektif, pilih kaedah, media dan bahan, gunakan media dan bahan, dorongan penglibatan murid dan yang terakhir merupakan nilai dan semak.Model terancang yang memerlukan penggunaan media. Bagi mengendalikan suatu pengajaran dan pembelajaran yang tersusun dan berfungsi secara lebih berkesan.  Satu panduan merancang pengajaran dan pembelajaran berdasarkan penggunaan media dalam kelas yang berfokuskan situasi dalam bilik darjah sahaja.

1.4.2    Konsep Model Assure

Setiap model yang dibina akan mempunyai tujuan dan objektif  yang tersendiri untuk dicapai. Di samping itu model pembelajaran ini juga akan mempunyai kaedah pengajaran dan pembelajaran yang berbeza bagi memastikan pelajar akan mendapat pengalaman pembelajaran yang betul semasa proses pembelajaran. Proses penilaian yang berbeza akan disediakan bagi setiap langkah-langkah model bagi memastikan pelajar akan dapat menguasai kemahiran yang diperlukan dalam setiap kemahiran yang diajar.

Menurut Yusuf Hashim (1998), model rancangan pengajaran yang berorientasikan bilik darjah tidak menggalakkan guru membina bahan pengajaran, sekadar hanya memilih bahan sahaja. Alasannya jelas; kerana ia menjimatkan masa. Namun, realiti masa kini menunjukkan jumlah bahan pengajaran yang tersedia masih kecil, dan ini bermakna guru masih perlu menyediakannya sendiri.

1.5       Kesimpulan

Strategi pengajaran yang baik wujud apabila semua teknik dikolaborasikan berdasarkan situasi terhadap kemahiran yang ingin disampaikan. Gabungan pelbagai strategi dengan memasukan teknik yang bersistematik akan mewujudkan prosedur pengajaran dan pembelajaran yang berkesan agar murid bertanggungjawab ke atas apa yang mereka pelajari. Oleh yang demikian dapatlah dikatakan bahawa secara keseluruhan reka bentuk pelajaran memainkan peranan utama dalam menyediakan proses pengajaran dan pembelajaran yang tersusun dan teratur. Justeru yang demikian ia akan memudahkan proses pembelajaran sesuatu unit Pelajaran dengan lebih terurus dan memberi implikasi kepada keberkesanan pengajaran dan pembelajaran.